PN gagal tangguh tindakan penggantungan aktiviti oleh ROS

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) gagal mendapatkan perintah penangguhan sementara terhadap notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung semua kegiatan gabungan itu sehingga permohonan semakan kehakiman didengar dan diputuskan.

Bagaimanapun, Hakim, Datuk Azizan Md Arshad menetapkan 22 Oktober ini bagi mendengar permohonan PN untuk penggantungan inter-parte atau secara dua pihak, membabitkan notis sama.

Dalam prosiding serupa, beliau membenarkan gabungan parti memulakan semakan kehakiman bagi mencabar perkara itu.

Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas mendengar penghujahan peguam, Ivanpal Singh Grewal yang mewakili PN dan Peguam Kanan Persekutuan, Nurhaffiza Azizan bagi Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfiqar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku responden.

Dengan keputusan mahkamah itu, PN kekal terhalang daripada menggunakan logo dan nama, serta semua kegiatan gabungan parti itu turut digantung sehingga pendengaran inter-parte (secara kedua belah pihak) didengar.

Permohonan kebenaran semakan kehakiman berkenaan difailkan lima pemimpin parti komponen PN, diketuai Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Turut bertindak sebagai pemohon, ialah Setiausaha Agung Gerakan, Wong Chia Zhen; Setiausaha Agung Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Sathes Kumar Nilamaham; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah; dan Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Sazmi Miah.

Mereka menamakan RoS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai responden pertama dan kedua.

Mahkamah memutuskan pemohon berjaya melepasi ambang untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sekali gus membolehkan isu berbangkit dihujahkan pada peringkat substantif.

Mahkamah berpendapat, antara isu perlu diteliti ialah, sama ada kuasa statutori RoS membolehkan penggantungan diperluas sehingga menghalang PN daripada menyertai keseluruhan proses pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung.

Azizan berkata, dengan membuat keputusan itu, tidak bermaksud mahkamah sudah memutuskan kesahan tindakan RoS, sebaliknya persoalan sama ada tindakan atau perintah itu sah di sisi undang-undang, akan ditentukan pada peringkat substantif apabila dihujahkan lebih terperinci

Berhubung permohonan penangguhan interim, Azizan berkata, ia terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes terdahulu yang dibangkitkan pihak peguam.

Bagaimanapun beliau berkata, permohonan berkenaan diberikan keutamaan kerana hari penamaan calon dijadualkan 31 Oktober ini, dengan mengambil kira kepentingan awam.

Katanya, begitu juga ada keperluan memberikan ruang kepada pihak terbabit menyelesaikan isu berkenaan dalam tempoh yang sesuai, terutama menjelang PRN Melaka.

PN memfailkan permohonan bagi mencabar perintah penggantungan bertarikh 23 September 2026 yang dibuat mengikut subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966, selain notis bertarikh 22 September 2026 yang menyatakan hasrat untuk membatalkan pendaftaran gabungan itu selepas tempoh 30 hari.

Antara alasan dikemukakan ialah, dakwaan bahawa RoS tidak mempunyai kuasa menentukan status BERSATU sebagai parti anggota PN, selain dakwaan penggantungan dibuat tanpa memberi gabungan itu peluang untuk didengar.

PN turut mendakwa, tindakan itu menjejaskan keupayaannya menjalankan kegiatan politik, termasuk memberi kuasa kepada calon untuk bertanding menggunakan nama dan simbol gabungan itu pada PRN Melaka.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari penamaan calon bagi PRN Melaka ditetapkan pada 31 Oktober, manakala pengundian awal pada 10 November dan hari mengundi pada 14 November.

Related Posts

Belanjawan 2027: Kebajikan OKU, pendidikan khas, keluarga, pesawah terus dibela – Rohani

KUCHING – Peruntukan RM1.5 bilion bagi bantuan orang kurang upaya (OKU) serta penambahbaikan sokongan pendidikan khas dalam Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kerajaan memastikan golongan itu dan keluarga mereka terus mendapat…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bekas pemain bola sepak dituduh edar 72kg ganja

ALOR SETAR – Seorang bekas pemain bola sepak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar 72 kilogram (kg) dadah jenis kanabis, bulan lalu. Tertuduh, Muhammad Faiz…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Belanjawan 2027: Kebajikan OKU, pendidikan khas, keluarga, pesawah terus dibela – Rohani

Belanjawan 2027: Kebajikan OKU, pendidikan khas, keluarga, pesawah terus dibela – Rohani

PN gagal tangguh tindakan penggantungan aktiviti oleh ROS

PN gagal tangguh tindakan penggantungan aktiviti oleh ROS

TAVIS sahut aspirasi Belanjawan 2027, perkasa pendidikan digital

TAVIS sahut aspirasi Belanjawan 2027, perkasa pendidikan digital

Markas 13 Briged Infantri dirancang berpindah ke Tawau

  • By Fatin
  • October 13, 2026
Markas 13 Briged Infantri dirancang berpindah ke Tawau

Kualiti udara tidak sihat, sekolah seluruh Tawau tutup esok

  • By Fatin
  • October 13, 2026
Kualiti udara tidak sihat, sekolah seluruh Tawau tutup esok

Misteri rangka manusia dalam dua guni, buruh Rohingya direman tujuh hari

Misteri rangka manusia dalam dua guni, buruh Rohingya direman tujuh hari