TAWAU – Markas 13 Briged Infantri Malaysia yang berpangkalan di Kem Cenderawasih, Lahad Datu dirancang untuk dipindahkan ke Kem Kukusan, Tawau atas faktor kesesuaian taktikal dan strategik Tentera Darat.
Panglima 13 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Jagjit Singh Indar Singh berkata, berdasarkan perancangan masa hadapan,
kem akan dibina semula sebagai kem baharu Tentera Darat selepas pasukan 26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berpindah ke Kem Baharu Tentera Darat Felda Sahabat, Lahad Datu.
“Kem Baharu Tentera Darat Felda Sahabat itu dijangka siap pada pertengahan 2028.
“Sepanjang tempoh pembinaan semula Kem Kukusan, Markas 13 Briged Infantri akan beroperasi di Mid Valley Commercial Centre, Tawau sebagai lokasi sementara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Perbarisan Serah Terima Tugas Panglima 13 Briged di Padang Kawad Kem Kubota, Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja (7 RAMD), di sini, pada Selasa.

Menurutnya, keperluan aset bagi 13 Briged masih perlu ditambah baik khususnya aset mobiliti.
“Kita memerlukan lebih banyak aset mobiliti di Sabah kerana keadaan jalan raya dan bentuk muka bumi di negeri ini memerlukan keupayaan pergerakan yang lebih baik.
“Walaupun kita masih menerima aset, kita berharap lebih banyak aset mobiliti dapat disalurkan ke Sabah,” ujarnya.

Terdahulu, serah tugas Panglima 13 Briged baharu kepada Brigedier Jeneral Ahmad Hafizal Hashim diadakan susulan persaraan Jagjit selepas hampir dua tahun menerajui formasi berkenaan sejak Januari 2025.
Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Shamshor Jaafar turut hadir menyaksikan dan menyempurnakan perbarisan tersebut.
Jagjit turut menzahirkan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota 13 Briged atas komitmen, kerjasama serta sokongan yang diberikan sepanjang tempoh beliau menerajui formasi berkenaan.
“Kejayaan ini bukan kejayaan saya seorang, tetapi kejayaan seluruh 13 Briged hasil sumbangan dan kerjasama semua pemerintah serta unit di bawah pemerintahan saya dalam melaksanakan tugas di Pantai Timur Sabah,” jelasnya.





