
LUMUT – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) selepas disyaki melanggar syarat lesen perikanan dan peraturan imigresen, selain melibatkan lima kru warga Myanmar yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah atau mengemukakan dokumen yang diragui kesahihannya.
Penahanan dilakukan aset Maritim kira-kira jam 5 petang, Sabtu lalu, pada kedudukan 8.6 batu nautika barat daya Pulau Buluh, Perak, ketika melaksanakan operasi penguatkuasaan di perairan Selat Melaka.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan lima kru warga Myanmar, termasuk tekong berusia antara 26 hingga 56 tahun, yang sedang menjalankan aktiviti perikanan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, walaupun vesel itu mempunyai lesen yang sah, pemeriksaan lanjut mendapati tekong bersama dua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala dua lagi kru mengemukakan dokumen yang diragui kesahihannya.
“Vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 berkaitan penggajian atau pembawaan warga asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
“Semakan turut mendapati vesel tersebut disyaki melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan pada jarak kurang daripada 15 batu nautika dari pantai,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam operasi sama, pihak Maritim turut menemukan hasil tangkapan ikan seberat kira-kira 250 kilogram di atas vesel berkenaan.
Kesemua kru ditahan bagi membantu siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan ikan serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke jeti Maritim untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Maritim menegaskan bahawa setiap pengusaha dan pengendali vesel bertanggungjawab mematuhi undang-undang maritim, peraturan imigresen serta syarat lesen perikanan yang ditetapkan.
Agensi itu turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkuat kuasa bagi memastikan pematuhan peraturan dan penguatkuasaan di perairan negara sentiasa terpelihara.
Foto: Maritim Malaysia



