
KUALA LUMPUR – Masyarakat disarankan untuk tidak mengambil tindakan sendiri terhadap pelarian yang didakwa melakukan kesalahan atau menimbulkan keresahan masyarakat, sebaliknya menyalurkan aduan kepada pihak berkuasa untuk tindakan mengikut peruntukan undang-undang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebarang aduan berkaitan tingkah laku pelarian yang tidak disenangi penduduk setempat perlu diserahkan kepada polis atau pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan sewajarnya.
Beliau berpandangan, jalan yang paling baik bagi mengekalkan tertib dalam sebuah negara adalah menyerahkan tindakan tidak bertanggungjawab warga asing pada pihak yang berautoriti untuk menjalankannya.
“Soal tindakan bersendirian. Saya fikir kerjasama yang rakyat Malaysia boleh buat adalah jika mereka mendapati tingkah laku atau perbuatan di kalangan mereka yang dikatakan pelarian ini tak disenangi oleh penduduk setempat, komuniti setempat dan sebagainya, mereka sampai kepada pihak berkuasa.
“Sebab pihak berkuasa dari sudut undang-undang adalah pasukan polis dan pihak berkuasa yang lain. Maknanya elak daripada mengambil tindakan sendirian. Saya sangat faham tentang wujudnya beberapa aktivis yang membuat usaha seperti ini.
“Kita hargai usaha mereka, kerana ini gambaran tentang tak senangnya masyarakat kita tentang kehadiran ini,” katanya di Dewan Rakyat, pada Selasa
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (PH) Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse yang meminta pandangan kerajaan berhubung tindakan individu atau NGO yang didakwa melakukan serbuan terhadap warga Rohingya serta meminta mereka menunjukkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Jimmy mempersoalkan tindakan pihak berkenaan yang didakwa bertindak secara agresif dan seolah-olah mempunyai kuasa penguatkuasaan, sedangkan Malaysia mempunyai undang-undang serta agensi berkuasa untuk menguatkuasakan peraturan.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menyentuh dakwaan yang tular berhubung pelarian yang dikatakan memasuki Malaysia menggunakan pasport negara lain sebelum memohon kad UNHCR.
“Ada yang sampai pergi ke kem pelarian, kemudian dia buat satu posting, dia kata dia mengesan bahawa kemasukan mereka dari luar menggunakan pasport sebuah negara. Kemudian dapat kad UNHCR.
“Sebab kalau ia pelarian dan dia dikatakan masuk menggunakan pasport, kemudian dengan pasport itu dia mohon status pelarian, yang itu tak melibatkan autoriti kita langsung, itu tapisan UNHCR.
“Reaksi saya adalah kalau adanya dakwaan seperti itu, menjadi tanggungjawab kewajipan mereka untuk mendekati kita untuk menjalankan kewajipan dengan undang-undang dalam negara kita,” katanya.








