Penduduk Ulu Mentawai kini nikmati akses jalan darat

LIMBANG – Penduduk Kampung Ulu Mentawai kini mula menikmati perubahan besar dalam sistem perhubungan apabila laluan jalan darat sudah boleh digunakan untuk keluar masuk ke kawasan berkenaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pengangkutan sungai yang menjadi nadi perhubungan utama sejak sekian lama.

Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, perkembangan itu merupakan satu petanda positif hasil pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur jalan raya di kawasan pedalaman, termasuk projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa Dua yang kini giat dilaksanakan.

Menurut beliau, kemajuan kerja pembinaan yang semakin rancak memberikan gambaran memberangsangkan terhadap usaha kerajaan meningkatkan jaringan perhubungan, khususnya bagi masyarakat luar bandar yang selama ini berdepan kekangan akses jalan raya.

Beliau berkata, perubahan tersebut turut dapat disaksikan sendiri apabila buat pertama kalinya beliau berpeluang memasuki Kampung Ulu Mentawai menggunakan kenderaan melalui laluan darat yang sedang dibangunkan.

“Sebelum ini, Kampung Ulu Mentawai hanya boleh diakses melalui laluan sungai, namun kini laluan darat sudah boleh digunakan walaupun kerja pembinaan jalan masih belum siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Kampung Ulu Mentawai bagi meninjau perkembangan pembangunan infrastruktur dan kemudahan perhubungan di kawasan berkenaan, pada Ahad.

Hasbi berkata, beliau berpuas hati dengan perkembangan semasa kerja pembinaan jalan raya yang dilihat semakin menunjukkan kemajuan, sekali gus memberi harapan baharu kepada penduduk untuk menikmati kemudahan perhubungan yang lebih baik pada masa hadapan.

Menurutnya, kewujudan akses jalan darat itu bukan sahaja memudahkan pergerakan harian penduduk, malah dijangka membawa perubahan besar terhadap kegiatan sosioekonomi masyarakat setempat.

Katanya, sebelum ini penduduk terpaksa bergantung kepada pengangkutan sungai untuk mendapatkan bekalan keperluan harian, menguruskan urusan di bandar serta membawa keluar hasil pertanian untuk dipasarkan.

“Bagaimanapun, dengan adanya laluan darat yang kini mula boleh digunakan, penduduk mempunyai pilihan pengangkutan yang lebih praktikal, khususnya untuk membawa hasil tanaman dan produk pertanian ke pasaran.

“Kemudahan tersebut berpotensi membantu mengurangkan kekangan logistik yang dihadapi pengusaha pertanian di pedalaman, selain membuka peluang kepada mereka memperluaskan pasaran dan meningkatkan pendapatan,” katanya.

Menurut Hasbi, pembangunan jalan raya bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal kepada masyarakat, sebaliknya turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, meningkatkan mobiliti penduduk serta memperluas akses kepada perkhidmatan asas.

Dalam masa sama, beliau berharap pelaksanaan projek SSLR Fasa Dua dapat diteruskan dengan lancar serta mematuhi jadual dan spesifikasi yang ditetapkan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati sepenuhnya oleh masyarakat setempat.

Katanya, aspek kualiti pembinaan dan keselamatan pengguna juga perlu diberikan perhatian memandangkan laluan berkenaan masih berada dalam peringkat pembinaan.

Hasbi turut menegaskan bahawa kerajaan terus komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur jalan raya dapat diperluas ke kawasan luar bandar dan pedalaman supaya masyarakat di kawasan terpencil tidak terus ketinggalan daripada arus pembangunan.

Beliau berkata, penyediaan sistem perhubungan yang lebih baik amat penting dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman Sarawak yang mempunyai cabaran geografi tersendiri.

Menurutnya, apabila projek berkenaan siap sepenuhnya kelak, jaringan jalan raya yang lebih menyeluruh dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk dari segi kemudahan perjalanan, aktiviti ekonomi dan kesejahteraan hidup.

Beliau turut berharap pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh masyarakat, khususnya dalam memperkembangkan sektor pertanian dan aktiviti ekonomi tempatan.

Related Posts

Prasarana asas desa dinaik taraf, pemangkin pembangunan luar bandar

KUCHING – Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh menyambut baik tumpuan kerajaan persekutuan terhadap agenda pembangunan menerusi pembentangan belanjawan 2027 baru-baru ini khususnya peruntukan yang memberi manfaat kepada Sarawak dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Belanjawan 2027: Pekerja gig harap pendapatan, kebajikan lebih terjamin

KUCHING – Pengumuman pelbagai inisiatif khusus untuk pekerja gig menerusi Belanjawan 2027 disambut baik penghantar makanan di bandar raya ini yang berharap langkah berkenaan dapat membantu meningkatkan pendapatan, memperkukuh perlindungan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Prasarana asas desa dinaik taraf, pemangkin pembangunan luar bandar

Prasarana asas desa dinaik taraf, pemangkin pembangunan luar bandar

Belanjawan 2027: Pekerja gig harap pendapatan, kebajikan lebih terjamin

Belanjawan 2027: Pekerja gig harap pendapatan, kebajikan lebih terjamin

Penduduk Ulu Mentawai kini nikmati akses jalan darat

Penduduk Ulu Mentawai kini nikmati akses jalan darat

Program SYStartUP buka ruang belia bina potensi keusahawanan

Program SYStartUP buka ruang belia bina potensi keusahawanan

Kebajikan, kesihatan warga emas perlu terus diberi keutamaan

Kebajikan, kesihatan warga emas perlu terus diberi keutamaan

Pesta Hari Bukit Mas 2026 medan perkukuh perpaduan, pelihara warisan budaya

Pesta Hari Bukit Mas 2026 medan perkukuh perpaduan, pelihara warisan budaya