
KUCHING – Pengumuman pelbagai inisiatif khusus untuk pekerja gig menerusi Belanjawan 2027 disambut baik penghantar makanan di bandar raya ini yang berharap langkah berkenaan dapat membantu meningkatkan pendapatan, memperkukuh perlindungan sosial dan menjamin masa depan mereka.
Tiga penghantar makanan daripada platform Foodpanda dan GrabFood menyifatkan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai perkembangan positif dalam usaha mengiktiraf sumbangan pekerja gig yang menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi negara.
Penghantar makanan Foodpanda, Mohd Khairi Azrie Dollah, 26, berkata, inisiatif peningkatan pendapatan bersih amat bermakna kepada pekerja gig yang perlu menanggung pelbagai kos operasi termasuk minyak, penyelenggaraan motosikal dan perbelanjaan harian.

Menurutnya, pendapatan penghantar makanan bergantung pada jumlah tempahan yang diterima, justeru sebarang inisiatif yang dapat membantu meningkatkan pendapatan bersih mereka amat dialu-alukan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri, atas pengumuman inisiatif yang memberi perhatian kepada kebajikan pekerja gig seperti kami.
“Saya berharap pelaksanaan inisiatif ini berjalan lancar supaya manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai penghantar makanan, termasuk mereka yang bekerja di Sarawak,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penghantar makanan Foodpanda, Mohd Kamil Mohd Sidek, 35, berkata, inisiatif berkaitan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut memberikan harapan kepada pekerja gig untuk merancang masa depan dengan lebih baik.

Katanya, aspek keselamatan ketika menjalankan tugas perlu diberikan perhatian kerana penghantar makanan berdepan risiko kemalangan jalan raya ketika menghantar pesanan kepada pelanggan.
“Bagi kami, perlindungan sosial amat penting kerana pekerjaan ini melibatkan risiko ketika berada di jalan raya.
“Saya menghargai usaha kerajaan menyediakan insentif caruman padanan PERKESO dan KWSP kerana ia dapat membantu pekerja gig membuat persediaan untuk masa hadapan, selain mengharapkan proses permohonan serta syarat kelayakan dipermudahkan,” katanya.
Dalam pada itu, penghantar makanan GrabFood, Mohammad Azidil Akil, 34, berkata, peruntukan RM270 juta bagi pembiayaan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank, khususnya untuk memulakan perniagaan serta membeli rumah pertama, membuka peluang kepada pekerja gig untuk meningkatkan taraf hidup.

Menurutnya, pekerjaan penghantar makanan bukan sekadar menjadi sumber pendapatan harian, malah boleh menjadi asas untuk membina kehidupan lebih stabil sekiranya pendapatan diurus dengan baik dan peluang yang disediakan dimanfaatkan.
“Saya bersyukur apabila kerajaan turut memberikan perhatian kepada keperluan pekerja gig untuk memiliki rumah sendiri dan memulakan perniagaan.
“Saya berharap kemudahan pembiayaan ini dapat dilaksanakan dengan syarat yang munasabah serta proses permohonan yang mudah difahami supaya lebih ramai pekerja gig berpeluang menikmati manfaatnya,” katanya.
Belanjawan 2027 turut menggariskan pakej pembiayaan bersama kerajaan dan Grab berjumlah RM160 juta bagi meningkatkan pendapatan bersih pekerja gig, dengan peningkatan dijangka sehingga RM227 sebulan bagi pemandu e-hailing pada tahap median dan RM100 sebulan bagi penghantar p-hailing.
Inisiatif berkenaan turut merangkumi bantuan penyelenggaraan kenderaan, insurans dan caruman PERKESO, selain insentif caruman padanan bagi simpanan persaraan KWSP.
Pada masa sama, kerajaan memperluas pelepasan cukai berkaitan caruman wajib PERKESO di bawah Skim Lindung Kendiri serta menyediakan pelepasan tambahan sehingga RM150 bagi caruman sukarela Skim Lindung 24 Jam dan Lindung Kendiri.
Ketiga-tiga penghantar makanan itu berharap inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh, sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan pekerja gig serta keluarga mereka.






