United hanya mampu seri 1-1 lawan Tottenham

MICHAEL Carrick mengakui Manchester United perlu lebih bijak mengawal permainan dan memiliki mentaliti lebih kental selepas sekali lagi mensia-siakan kelebihan, kali ini ketika diikat Tottenham Hotspur 1-1 di Old Trafford, awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan United hanya mengumpul enam mata daripada enam perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris musim ini – kutipan terendah kelab dalam tempoh 30 tahun pada peringkat sama.

Lebih memalukan, anak buah Carrick terpaksa menerima sorakan boo penyokong sendiri ketika menuju ke bilik persalinan pada separuh masa pertama dan selepas tamat perlawanan, selepas Tottenham yang memulakan aksi dari dasar liga mendominasi sebahagian besar permainan.

“Saya pastinya tidak gembira dengan jumlah mata yang kami kumpul setakat ini. Saya tidak boleh menafikan hakikat itu.

“Mungkin keputusan berbeza jika bukan kerana perkara-perkara kecil, tetapi realitinya tetap begitu dan kami perlu menerimanya. Kami perlu segera membawa pasukan ke arah yang lebih positif.

“Kami ada kemampuan, cuma perlu lebih bijak mengendalikan situasi tertentu, lebih kental, lebih teguh dan pastikan kelebihan dapat dipertahankan,” kata Carrick.

Ia bukan kali pertama United leka. Sebelum ini mereka melepaskan kelebihan dua kali ketika seri 2-2 di gelanggang Everton, selain tersingkir daripada Piala Liga kepada Brighton bulan lalu walaupun mendahului 2-0.

Awal pagi tadi, Tottenham pada mulanya dilihat bakal menyesali kegagalan menyudahkan beberapa peluang, sebelum Bryan Mbeumo meletakkan United di depan ketika perlawanan berbaki 17 minit.

Drama tercetus apabila Rodrigo Bentancur dilayangkan kad merah terus selepas menanduk Luke Shaw, meletakkan Spurs beraksi dengan 10 pemain.

Namun dengan kelebihan jumlah pemain, United sekali lagi gagal mematikan perlawanan apabila Dominic Solanke menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan.

Rekod memalukan terus menghantui Old Trafford apabila musim lalu Everton dan bulan lalu Manchester City turut mencatat kemenangan di gelanggang keramat itu walaupun beraksi dengan 10 pemain selama lebih sejam.

“Gol yang dibolosi mungkin berbeza, tetapi sama ada lawan 10 pemain atau tidak, bila kami mendahului, kami perlu pertahankan kemenangan.

“Kami perlu tahu bila hendak kuasai bola, kawal permainan dengan lebih baik, jaga penguasaan di kawasan lawan dan terus tekan mereka di kawasan sendiri,” tegas Carrick.

Di kem lawan, Tottenham masih belum mencatat sebarang kemenangan liga musim ini, namun pengendalinya, Roberto De Zerbi berpuas hati dengan reaksi ditunjukkan anak buahnya.

“Ketika 10 pemain, kami mungkin bermain lebih berani, lebih bertenaga dan mengubah rentak permainan.

“Untuk tempoh lama, Tottenham beraksi tanpa semangat juang dan karakter seperti ini. Kini saya jurulatih mereka dan saya mahu lihat karakter itu setiap perlawanan,” kata pengendali dari Itali itu.

Keputusan mengejutkan De Zerbi melantik Solanke sebagai kapten berbalas apabila penyerang itu menjaringkan gol liga pertamanya di gelanggang lawan sejak April 2025.

“Saya mahu lantik dia sebagai kapten untuk tunjukkan keyakinan saya dan seluruh pasukan terhadapnya. Semua pemain gembira bila saya umumkan Dominic Solanke sebagai kapten,” katanya.

Related Posts

Guimaraes penyelamat Arsenal tewaskan Leeds 2-1

ARSENAL bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Leeds United 2-1 di Stadium Emirates lewat malam tadi, sekali gus menyamai pungutan mata pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City. Selepas tiga minggu berehat…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hampir 5,000 meriahkan Hari Sukan Negara peringkat Sabah

TUARAN – Hampir 5,000 peserta dan penduduk membanjiri Padang Istiadat Tuaran bagi memeriahkan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

NUTP sambut baik tambahan peruntukan pendidikan

NUTP sambut baik tambahan peruntukan pendidikan

PH perkasa kekuatan parti sebelum muktamad umum calon

PH perkasa kekuatan parti sebelum muktamad umum calon

JAIS siasat dakwaan individu Islam lakukan ritual agama lain, tidak tolak unsur AI

JAIS siasat dakwaan individu Islam lakukan ritual agama lain, tidak tolak unsur AI

Tajaan JPA 4,200 anak Sarawak perkasa akses pendidikan tinggi, bantu keluarga B40 – Ahmad Johnie

Tajaan JPA 4,200 anak Sarawak perkasa akses pendidikan tinggi, bantu keluarga B40 – Ahmad Johnie

Doktor kontrak ke jawatan tetap suntik semangat petugas kesihatan, FLYSiswa ringan beban

Doktor kontrak ke jawatan tetap suntik semangat petugas kesihatan, FLYSiswa ringan beban

United hanya mampu seri 1-1 lawan Tottenham

United hanya mampu seri 1-1 lawan Tottenham