KUALA LUMPUR – Kira-kira 40,000 pengguna KTM Komuter dijangka menikmati penjimatan sehingga RM160 sebulan menerusi pas MYKOMUTER50 yang diumumkan dalam Belanjawan 2027.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan, menyambut baik inisiatif itu, selain pengekalan Pas MyRailLife dan pemerolehan 42 set tren baharu bagi meningkatkan kapasiti serta kualiti perkhidmatan rel.
Menurut KTMB, MYKOMUTER50 dijangka membantu mengurangkan beban perbelanjaan perjalanan harian, khususnya bagi pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan KTM Komuter untuk ke tempat kerja dan menguruskan urusan seharian.
“Kemudahan ini akan meringankan perbelanjaan pengguna, khususnya mereka yang bergantung kepada KTM Komuter untuk ke tempat kerja dan menjalankan urusan seharian,” menurut kenyataan itu.
KTMB turut menyambut baik pengekalan Pas MyRailLife yang diperkenalkan pada 2023, dengan menyediakan perjalanan percuma kepada kira-kira 360,000 penerima, termasuk murid sekolah, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berusia bawah enam tahun.
Selain itu, pemerolehan 42 set tren baharu bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter dijangka meningkatkan kapasiti perkhidmatan serta memenuhi keperluan perjalanan pengguna dalam jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri, berkata Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh sistem pengangkutan awam yang inklusif dan mampan.
“Bagi KTMB, setiap pelaburan dan dasar yang diumumkan bukan sekadar angka dalam bajet, tetapi amanah untuk kami terus mempertingkat kualiti perkhidmatan, memperluas jaringan rel, dan memastikan setiap rakyat dari bandar hingga ke luar bandar menikmati manfaat kemudahan rel yang selamat, mudah dan mampu diakses,” katanya.
Dalam pada itu, KTMB mengambil maklum penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai keperluan menangani kerosakan tren dan gangguan perkhidmatan yang menjejaskan perjalanan penumpang.
KTMB berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan pihak berkaitan bagi merealisasikan aspirasi Belanjawan MADANI 2027, sekali gus memastikan pengguna menikmati perjalanan yang lebih selesa, selamat dan lancar.







