TANGGA BATU – Teknologi satelit Starlink yang lebih kecil, mudah dibawa dan menjimatkan tenaga bakal menjadi antara alternatif bagi menyediakan capaian internet di kampung Orang Asli di samping kawasan pedalaman.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kebanyakan kampung Orang Asli berdepan masalah capaian internet berikutan kekangan pembinaan menara telekomunikasi serta faktor geografi yang menyukarkan penyediaan infrastruktur berkenaan.
Beliau berkata, penggunaan teknologi Starlink antara penyelesaian yang akan dimanfaatkan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 bagi memastikan penduduk di kawasan berkenaan turut menikmati kemudahan internet.
“Starlink baru-baru ini menunjukkan versi terbaharu yang lebih kecil, mudah dibawa dan menggunakan tenaga lebih rendah, malah boleh dihidupkan menggunakan bank kuasa.
“Jadi, kita akan memanfaatkan teknologi seperti Starlink untuk membantu memastikan capaian internet tersedia, termasuk di kampung-kampung Orang Asli,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program MADANI Kita (PMK) Paya Rumput@Tangga Batu di Krubong, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, JENDELA 2 merangkumi keseluruhan 3,000 tapak di seluruh negara yang mempunyai populasi antara 20 ke 30 orang sehingga 200 mencecah 300 orang.
Daripada jumlah itu, katanya, kira-kira satu pertiga lokasi akan dilengkapi menara telekomunikasi, manakala baki tapak menggunakan pelbagai penyelesaian bersesuaian mengikut keperluan dan keadaan kawasan masing-masing.
“Teknologi Starlink ini sangat sesuai kalau jumlah kepadatan penduduknya sangat rendah. Dan kita ada beberapa penyelesaian lain yang akan digunakan bergantung kepada situasi di satu-satu tempat.
“Fasa pertama bagi JENDELA 2 sedang berjalan. Proses mengenal pasti vendor dan sebagainya itu diuruskan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dan ini melibatkan 1,000 tapak yang pertama. Bagi fasa kedua melibatkan 2,000 tapak, itu akan disusuli mungkin pada awal tahun depan,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan fasa pertama meliputi seluruh negara dengan masing-masing satu pertiga daripada lokasi terbabit berada di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Jadi kita berlaku adil. Tapi dalam fasa kedua, banyak daripada lokasinya adalah di kawasan pedalaman Sarawak dan juga di Sabah. Ada beberapa lokasi di Semenanjung juga,” katanya.




