
KINABATANGAN – Seorang anggota polis maut manakala dua lagi cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Sandakan-Lahad Datu, berhampiran Kampung Lot M, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden Janeve Sindih berkata, kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang semasa tiga anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan berkenaan dalam perjalanan pulang selepas selesai menghantar seorang orang kena tahan (OKT) ke Penjara Sandakan.
Menurutnya, kemalangan itu melibatkan sebuah Perodua Aruz yang dinaiki tiga anggota polis dengan sebuah lori jenis Nissan yang dipandu seorang lelaki tempatan.
“Siasatan awal mendapati Perodua Aruz berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori yang datang dari arah Kinabatangan menuju Sandakan.
“Akibat perlanggaran itu, seorang penumpang di bahagian belakang Perodua Aruz mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Kinabatangan pada 4.53 petang,” katanya.
Menururnya, pemandu Perodua Aruz dan seorang lagi penumpang turut mengalami kecederaan parah, manakala pemandu lori tidak cedera.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




