Gambar hiasan
KUALA LIPIS – Empat individu cedera selepas seorang lelaki bersenjatakan parang mengamuk dan mengejar orang awam di Kampung Berchang di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu jam 6.36 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis digerakkan ke lokasi.
“Suspek ditahan kira-kira jam 7.10 malam sebelum dibawa ke IPD Lipis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Sinar Harian.
Suspek kemudian dirujuk ke Wad Psikiatri Hospital Bentong selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lipis dan kini masih berada di hospital berkenaan untuk pemeriksaan mental.
Menurut Ismail, empat mangsa telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Padang Tengku berhubung kejadian itu.
“Kecederaan dialami semua mangsa tidak begitu serius dan mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.



