KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memasukkan elemen pendidikan kesihatan mental dalam kurikulum sekolah.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan perkara itu dilihat dapat membimbing dan membantu pelajar sekolah mengurus tekanan dengan lebih baik.
Bagaimanapun, beliau berpandangan, pendekatan pengajaran berkaitan kesihatan mental perlu dirangka secara berhemah dan menarik agar dapat meningkatkan minat serta penghayatan pelajar.
“Kena cara pengolahan yang melalui pengajaran. Sepatutnya dari segi agama dan moral itu paling penting, sebab itu dalam kurikulum Islam ini pun patut beri kesan.
“Semua anak-anak (beragama Islam) sekarang belajar Islam, semua berjemaah tetapi penghayatannya itu tidak jadi, saya setuju,” katanya pada program ‘Dialog Negara’ yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik malam tadi.
Program itu turut disiarkan serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.
Anwar berkata, bilangan kaunselor terlatih di sekolah juga perlu ditambah bagi menangani kes lebih serius, namun usaha itu mungkin mengambil masa kerana memerlukan peruntukan yang besar.
“Kalau perlu kita terpaksalah tetapi mengambil masa. Buat sementara ini harus ditimbulkan kesedaran. Penyelesaian kita ini terlalu terpisah-pisah. Kita timbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
“Ibu bapa ada tanggungjawab dia. Guru ada tanggungjawab dan menjalankan tanggungjawab dengan baik. Kalau kita pikul amanah ini dengan sebaik mungkin, seikhlas mungkin, sebahagiannya dapat ditangani,” katanya.
Sementara itu, Anwar memaklumkan, berdasarkan pembentangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kebanyakan kes membabitkan pelajar sekolah termasuk masalah buli berpunca daripada tekanan dalam keluarga, antaranya terlalu menekan anak supaya belajar, selain penganiayaan dan penderaan di sekolah.
“Jadi kalau kita cari penyelesaian ini, kita boleh dengar cadangan dari KPM, Kementerian Kesihatan, dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Maknanya mesti timbul kesedaran lebih meluas dan di rumah bagi saya penting.
“Kena ada asas bahawa mesti ada tanggungjawab ibu bapa dan keluarga. Sibuk bagaimanapun tidak boleh lari daripada tanggungjawab menjaga, mendidik, memberi masa dan ruang, menunjukkan rasa kasih sayang,” katanya.
