
KUCHING – Sektor kraf di Sarawak perlu ditransformasikan daripada aktiviti berasaskan tradisi semata-mata kepada sebuah industri kreatif yang berdaya saing, mampan dan bernilai komersial tinggi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sasaran itu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) ke arah membina ekonomi negeri yang lebih pelbagai, inklusif dan mampan.
Menurutnya, walaupun Sarawak memiliki khazanah kraf tersendiri seperti tenunan pua kumbu dan songket, keringkam, sulaman manik, anyaman bakul, ukiran kayu serta seramik, keunikan budaya sahaja tidak mencukupi untuk bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa.
“Kita mesti memperkukuh keseluruhan rantaian nilai kraf bermula daripada bahan mentah dan pengeluaran hinggalah kepada pembangunan produk, jaminan kualiti, penjenamaan, pemasaran, pengedaran serta kesediaan eksport,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Rasmi Ekspo dan Persidangan BorneoCraft Global 2.0 (BCG 2.0) pada Rabu.
Beliau yang juga Penasihat BorneoCraft Global 2026 menegaskan, penggiat kraf perlu memanfaatkan inovasi, reka bentuk kontemporari, pembungkusan moden serta platform digital tanpa menjejaskan keaslian dan nilai budaya warisan tempatan.
Pada masa sama, beliau menggesa penglibatan lebih besar golongan muda agar melihat bidang kraf bukan sekadar warisan turun-temurun, sebaliknya sebagai kerjaya berdaya maju dan peluang perniagaan yang mampu bersaing di peringkat global.
Mengulas penganjuran BCG 2.0 yang bertemakan ‘Crafting Tradition and Innovation’, Abdul Karim memaklumkan acara berkenaan dijangka menghimpunkan kira-kira 200 usahawan kraf dari Sarawak, negeri lain di Malaysia serta luar negara, selain menampilkan sekitar 25 penceramah antarabangsa menerusi sembilan sesi simposium.

“Jangan sekadar hadir untuk mempamerkan produk anda, sebaliknya datanglah untuk membina jaringan hubungan, mempelajari teknik baharu, memahami jangkaan pasaran, meneroka kerjasama serta mengenal pasti peluang perniagaan baharu,” katanya kepada pengusaha dan tukang kraf tempatan.
Beliau turut menyifatkan kraf sebagai instrumen diplomasi budaya yang berkesan bagi menghubungkan Sarawak dengan komuniti antarabangsa melalui identiti dan kecemerlangan kreatif tempatan.
Bagi memacu kemampanan industri berkenaan, beliau menggariskan lima keutamaan iaitu pemeliharaan ilmu tradisional komuniti pribumi dan luar bandar, pelaburan inovasi reka bentuk, pengukuhan pengkomersialan, pendigitalan serta kerjasama strategik antarabangsa dengan penyelarasan Majlis Kraf Sarawak.
Tambahnya, kejayaan pembangunan industri kraf tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pameran atau kehadiran pengunjung semata-mata, tetapi menerusi peningkatan nyata taraf hidup tukang kraf, pertumbuhan perniagaan serta peluasan peluang pasaran.



