
SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam tindakan pempengaruh media sosial, Datuk Eric See-To yang didakwa mempersendakan petikan ayat al-Quran ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat.
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menyebabkan seseorang mengetepikan adab dan rasa hormat terhadap kesucian kitab suci umat Islam itu.
“Benci Anwar sekalipun, jagalah adab terhadap al-Quran.
“Apabila kebencian politik sampai menghina petikan ayat al-Quran yang dibaca Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2027 semalam, batas sudah dilanggar,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Anwar menarik perhatian rakyat apabila menggunakan beberapa istilah bahasa Arab yang jarang didengar, termasuk ‘waad’ dan ‘lighad’ ketika membentangkan belanjawan berkenaan.
‘Waad’ dan ‘lighad’ masing-masing membawa maksud janji dan hari esok.
Mengulas lanjut, Danish berkata, perbezaan pendapat mengenai pembentangan belanjawan seharusnya tertumpu kepada dasar, peruntukan dan angka yang diumumkan kerajaan.
“Kritiklah dasar, bahaskan angka. Jangan kerana mahu menyerang Anwar, kesucian al-Quran pula dijadikan bahan ejekan,” bidasnya.





