KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion bagi menyelenggara dan membaik pulih prasarana hospital serta klinik awam, termasuk menaik taraf klinik daif yang masih berbaki.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lebih RM770 juta turut disediakan bagi perolehan peralatan canggih dan moden untuk mempercepat proses diagnosis serta rawatan pesakit.
“Semua prasarana hospital dan klinik awam akan diselenggara dan dibaik pulih dengan peruntukan RM1.2 bilion. Ini termasuk menaik taraf klinik-klinik daif yang berbaki.
“Bagi mempercepat diagnosis dan rawatan, lebih RM770 juta disediakan untuk perolehan peralatan canggih dan moden,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, antara kemudahan yang diberi perhatian ialah menaik taraf perkhidmatan hemodialisis di hospital seluruh negara serta perolehan 400 ambulans baharu untuk hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mempercepat tindak balas kecemasan.
Selain itu, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) akan dilengkapi teknologi pembedahan robotik bagi memperluas akses rawatan kepada pesakit di Pantai Timur dan utara Semenanjung.
Sebanyak 18 Institut Latihan KKM pula akan menerima peralatan simulasi klinikal dan makmal sains asas bagi meningkatkan kemahiran lebih 20,000 pelatih serta petugas perubatan dan paramedik.







