
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim bertekad meningkatkan prestasi Kerajaan MADANI bagi memastikan rakyat terus menerima perkhidmatan terbaik sepanjang baki tempoh pentadbiran.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memanfaatkan tempoh lebih setahun yang masih berbaki untuk melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin, selain memperbaiki kelemahan dalam pentadbiran.
“Insya-Allah kita akan buat sebaik mungkin dan kita perbaiki prestasi kita.
“Kita ada setahun lebih lagi,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Timbalannya, Wong Kah Woh dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.
Anwar berkata, tempoh berbaki itu akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan kerajaan dapat terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan negara.
Semalam genap empat tahun beliau menerajui negara sebagai Perdana Menteri selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 November 2022.
Menerusi perkongsian di media sosial sebelum ini, Anwar merakamkan penghargaan kepada rakyat atas kesabaran, teguran, doa dan kepercayaan yang diberikan sepanjang empat tahun beliau menggalas amanah menerajui Kerajaan MADANI.
Beliau turut mengakui tempoh empat tahun itu bukan perjalanan mudah, terutama ketika negara berdepan pelbagai cabaran sejak hari pertama pentadbirannya.



