
KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI meningkatkan peruntukan bagi hal ehwal Islam kepada RM3.1 bilion berbanding RM2.6 bilion sebelum ini bagi terus memartabatkan syiar Islam di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan turut menubuhkan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia dengan penglibatan tokoh ulama antarabangsa, termasuk Syeikh Ali Gomaa dan Syeikh Idris al-Fasi, bagi memelihara keilmuan turath.
Katanya, Sijil Turath Malaysia turut diperkenalkan bagi menjamin kemampanan institusi pondok, manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama menyediakan peranti serta latihan kemahiran digital kepada guru dan pelajar di lebih 300 sekolah pondok di seluruh negara.
Selain itu, Program Dakwah Kreatif diperkenalkan bagi menghasilkan kandungan dakwah yang segar, sahih dan dekat dengan generasi muda menerusi media digital, pempengaruh serta kecerdasan buatan (AI).







