
PUTRAJAYA – Kerajaan terus mengutamakan perumahan rakyat apabila bakal membangunkan Bandar MADANI Bukit Jalil sebagai kawasan kediaman rakyat yang lengkap dengan kemudahan sekolah vertikal manakala pendaftaran fasa pertama akan dibuka mulai Isnin ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hampir RM1 billion juga disediakan untuk projek Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat.
Katanya, sebanyak empat projek perumahan baharu akan dilaksanakan di Kulai (Kohor), Nilai, (Negeri Sembilan), Paya Rumput (Melaka) dan Lembah Pertang (Terengganu).
“Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyediakan jaminan pembiayaan perumahan hingga RM20 bilion.
“Jaminan ini bakal membantu 80,000 pembeli rumah terutamanya dalam kalangan orang bekerja sendiri yang tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya dalam Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hati ini.
Menurut Anwar, kerajaan bercadang memberikan pengecualian penuh Duti Setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik bagi rumah pertama berharga sehingga RM500,000.
“Manakala bagi rumah sehingga RM700,000 pengecualian penuh Duti Setem untuk RM500,000 pertama dan 50 peratus bakinya,” ujarnya.
Jelasnya, pengecualian tersebut terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
Ke arah sifar projek perumahan terbengkalai menjelang 2030, katanya pengecualian penuh Duti Setem ke atas perjanjian dan surat cara pindah milik yang disempurnakan oleh kontraktor atau pemaju penyelamat serta pembeli asal.
“Pengecualian ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030,” ujarnya.





