
SHAH ALAM – Seramai 250,000 ketua isi rumah (KIR) miskin dan miskin tegar berdaftar dalam sistem e-Kasih bakal menerima perlindungan menerusi Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0.
Program berkenaan dilaksanakan melalui Program Jelajah Sejahtera MADANI dengan peruntukan RM20 juta bagi menyediakan perlindungan selama 12 bulan kepada golongan berkenaan.
Skim di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) itu memberi perlindungan bagi menghadapi risiko kehidupan termasuk kematian, kemalangan dan hilang upaya kekal.
Program berkenaan turut melibatkan kerjasama strategik Kerajaan Negeri Selangor dan Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN).
Program Jelajah Sejahtera MADANI – SIKR 3.0 yang berlangsung di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam itu dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, sebanyak 500 isi rumah eKasih di Selangor turut menerima sokongan kesihatan menerusi pemeriksaan asas yang disediakan PruBSN melalui pertubuhan kebajikannya, PruBSN Prihatin.
Pemeriksaan berkenaan membolehkan peserta mengenal pasti faktor risiko kesihatan lebih awal selain meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan diri dan keluarga.
Usaha itu melengkapi perlindungan SIKR 3.0 dengan pendekatan pencegahan penyakit dan peningkatan kesedaran kesihatan dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.
ICU JPM berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh perlindungan sosial, kesihatan dan kebajikan rakyat, khususnya keluarga yang terdedah kepada risiko kehidupan.
Menurutnya, perlindungan berkenaan diharap dapat membantu keluarga menghadapi musibah selain menyokong usaha meningkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Strategik ICU JPM, Datuk Norashiken Ishak dan Ketua Pegawai Pengedaran Perkongsian PruBSN, Teh Siew Peng.
ICU JPM berkata, usaha bersama itu berteraskan semangat “Memperkukuh Kesejahteraan Demi Kestabilan Sosial” bagi membantu golongan sasaran membina kehidupan yang lebih berdaya tahan.



