PUTRAJAYA – Myanmar bersedia menanggung kos penghantaran pulang rakyatnya yang masih berada di Malaysia, termasuk antara 3,000 hingga 4,000 individu yang kini ditempatkan di depoh Imigresen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehingga kini seramai 10,493 warga Myanmar sudah dibawa pulang melalui penerbangan dan kapal tentera laut.
Beliau berkata, Myanmar turut menyatakan kesediaan menerima rakyatnya yang masih berada di Malaysia, tertakluk kepada rekod, peraturan dan prosedur yang ditetapkan.
“Hingga kini, 10,493 warga dan rakyat Myanmar sudah dibawa pulang melalui penerbangan dan kapal tentera laut dan terima kasih kepada tentera laut kita atas kerjasama itu.
“Anda menyatakan bahawa mereka yang berada di depoh, antara 3,000 hingga 4,000 orang akan dihantar pulang dan sesiapa yang dapat disahkan berasal dari Myanmar,” katanya pada sidang media bersama Min Aung Hlaing sempena lawatan rasmi dua hari Presiden Myanmar itu ke Malaysia, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, berdasarkan pengalamannya, sangat sedikit, malah hampir tiada negara yang bersedia menerima penghantaran pulang rakyat mereka dalam jumlah besar selain menanggung sendiri kos berkenaan.
“Anda juga menyatakan bahawa mereka yang masih berada di sini, tertakluk kepada rekod yang ada, akan dirundingkan selanjutnya oleh Kementerian Dalam Negeri bersama rakan sejawatnya.
“Anda bersedia menerima mereka mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan. Justeru, sebagai sebuah kerajaan, sudah tentu kami perlu merakamkan penghargaan,” katanya.
Anwar berkata, pengesahan identiti serta semakan sama ada individu terbabit mempunyai rekod jenayah semasa atau rekod lain perlu dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.




