
KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan terus menyediakan pelbagai insentif produktiviti dan sokongan input pertanian kepada pekebun kecil persendirian kelapa sawit bagi membantu meningkatkan hasil serta pendapatan mereka, termasuk di Sarawak.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, bantuan yang disediakan itu meliputi edaran anak benih sawit berkualiti, baja, racun, peralatan penyelenggaraan kebun serta input berkaitan kawalan jangkitan penyakit Ganoderma.
Menurutnya, sokongan menyeluruh itu disalurkan menerusi Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) kepada para pekebun kecil yang memenuhi syarat kelayakan.
“Kerajaan sentiasa komited untuk memperkasa dan memelihara kebajikan pekebun kecil persendirian di seluruh negara, termasuk di Sarawak, melalui pelbagai insentif produktiviti serta sokongan input pertanian secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi pada persidangan Dewan Rakyat, pada Khamis.
Menyentuh mengenai skim TSPKS 2.0, Tiong Sii yang juga merupakan Ahli Parlimen Sarikei menjelaskan bahawa inisiatif tersebut dilaksanakan secara hibrid, iaitu membabitkan 50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman dengan kadar faedah serendah dua peratus setahun.
Jelasnya, ia memberi tumpuan khusus kepada usaha penanaman semula pokok sawit tua atau yang tidak lagi produktif menggunakan bahan tanaman berkualiti.
Dalam pada itu, beliau menambah, sokongan kerajaan turut merangkumi pekebun kecil yang aktif mengusahakan kebun matang dan mematuhi piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Menerusi inisiatif ini, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menanggung sepenuhnya kos audit pensijilan MSPO, selain menyediakan latihan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan khidmat nasihat teknikal berkaitan pembajaan.
Sebagai rekod, khidmat sokongan tersebut digerakkan menerusi platform Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC), selain pemberian kemudahan peralatan seperti rak penyimpanan bahan kimia dan kelengkapan perlindungan diri (PPE) kepada pekebun kecil yang layak.
Tiong Sii menegaskan, pelaksanaan pelbagai insentif itu akan terus diperkasa dari semasa ke semasa bagi memastikan amalan pengurusan kebun kelapa sawit di negara ini diusahakan secara lebih mampan dan produktif.



