KUALA LUMPUR – Isu pelarian Myanmar di Malaysia, termasuk prospek penghantaran pulang secara sukarela, selamat dan bermaruah tanpa mengira etnik, menjadi antara perkara yang dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing.
Anwar berkata, pertemuan empat mata kira-kira setengah jam itu berlangsung dalam suasana saling menghormati, selain meneruskan dialog yang dimulakan bersama Min Aung Hlaing di Bangkok pada awal tahun lalu.
Katanya, perbincangan turut menyentuh perkara yang mempunyai kepentingan bersama antara Malaysia dan Myanmar.
“Dalam pertemuan selama setengah jam itu, kami bertukar pandangan mengenai penyelesaian isu pelarian Myanmar di Malaysia, khususnya penghantaran pulang secara sukarela, selamat dan bermaruah tanpa mengira etnik.
“Saya percaya bahawa perbincangan dan rundingan secara langsung dengan Presiden Aung Hlaing serta pimpinan Myanmar penting untuk mencapai penyelesaian yang lebih tuntas dalam isu pelarian,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Anwar berkata, pendekatan sebelum ini yang mengehadkan ruang dialog tidak membuahkan hasil, malah isu pelarian Myanmar yang berlarutan selama puluhan tahun terus meruncing dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Justeru, ruang perbincangan yang berasaskan sikap saling menghormati dan kepercayaan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengusahakan penyelesaian yang nyata,” katanya.
Terdahulu, Anwar menyambut ketibaan Min Aung Hlaing di Kompleks Perdana Putra pada jam 9 pagi hari ini sempena lawatan rasmi dua hari Presiden Myanmar itu ke Malaysia.
Ketibaan beliau disusuli upacara sambutan rasmi negara, termasuk pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD).
Min Aung Hlaing berada dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia sejak semalam, dengan isu penghantaran pulang warga Myanmar di Malaysia antara perkara utama yang dijangka dibincangkan bersama Perdana Menteri.




