Jeti darat ikan jadi ‘topeng’ seludup diesel, RM2.82 juta dirampas

BAGAN DATUK – Berselindung di sebalik operasi pendaratan ikan, sebuah jeti persendirian di Sungai Sumun di sini dipercayai dijadikan lokasi memindahkan diesel bersubsidi nelayan ke lori tangki sebelum disalurkan kepada pembeli untuk kegunaan industri.

Kegiatan itu terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak bersama Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, Wilayah Satu menyerbu jeti berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah malam pada Rabu, menerusi Op Tiris 4.0 Bersepadu dan Op Taring Landai.

Serbuan hasil risikan bersama itu membawa kepada rampasan kira-kira 25,500 liter diesel bersubsidi, selain sebuah lori tangki berkapasiti 30 tan, tiga bot nelayan Kelas C, tangki simpanan (skid), pam, hos serta dokumen berkaitan.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, ketika serbuan, pihaknya mendapati diesel sedang dipindahkan daripada tiga bot nelayan Kelas C ke dalam lori tangki berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati diesel terbabit dipercayai diperoleh nelayan pada harga subsidi RM1.65 seliter, sebelum dijual semula pada harga antara RM4 hingga RM5 seliter kepada pembeli tertentu di Pulau Pinang.

“Maklumat awal yang diterima, diesel itu dipercayai untuk pasaran industri termasuk sektor kuari, kilang dan pengangkutan.

“Modus operandi mereka adalah mengambil diesel bersubsidi yang diperoleh nelayan menggunakan bot Kelas C sebelum dibawa ke jeti persendirian untuk dipindahkan ke lori tangki dan tangki skid,” katanya pada sidang media di lokasi pada Rabu.

Menurut Kamalludin, pemeriksaan turut mendapati pemilik premis berkenaan tidak memiliki lesen atau permit barang kawalan diesel yang sah.

Lebih mencurigakan, katanya, jeti terbabit dipercayai baru beroperasi kira-kira dua bulan dan sepatutnya digunakan bagi aktiviti pendaratan ikan.

Bagaimanapun, ketika serbuan dilakukan, tiada ikan ditemui di lokasi berkenaan.

“Jeti ini dipercayai diwujudkan untuk mengaburi pihak penguat kuasa kerana sepatutnya ia digunakan untuk aktiviti pendaratan ikan, tetapi ketika serbuan tidak terdapat ikan di situ.

“Jadi, kita percaya jeti ini digunakan sebagai penyamaran bagi membolehkan sindiket menjalankan aktiviti pemindahan diesel tanpa mudah dikesan,” katanya.

Siasatan awal juga mendapati pemilik dan pengurus jeti terbabit dipercayai individu sama yang pernah dikenakan tindakan dalam kes berkaitan penyelewengan diesel pada Jun lalu.

Dalam operasi itu, dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan, masing-masing lelaki tempatan berusia 49 tahun yang dipercayai tekong bot dan seorang lelaki warga Myanmar berusia 38 tahun yang merupakan pemandu lori.

Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM2.82 juta, termasuk nilai diesel sekitar RM124,950.

KPDN tidak menolak kemungkinan kegiatan itu mempunyai rangkaian pembeli tertentu, khususnya bagi membekalkan diesel bersubsidi kepada sektor industri pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga subsidi nelayan.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Related Posts

Polis nafi anggota ditikam di Hutan Simpan Tasik Bera

BERA – Polis menafikan dakwaan tular di media sosial mengenai seorang anggotanya cedera ditikam oleh Orang Asli ketika menjalankan operasi pemantauan keselamatan di Hutan Simpan Kekal Ramsar, Tasik Bera di…

Lebih lanjut

teruskan membaca
‘Ibarat menang Piala Dunia’, Abdullah Saidol syukur Jambatan Batang Paloh siap

DARO – Penyiapan sambungan akhir Jambatan Batang Paloh menjadi detik bersejarah yang disifatkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol ibarat…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Polis nafi anggota ditikam di Hutan Simpan Tasik Bera

Polis nafi anggota ditikam di Hutan Simpan Tasik Bera

Jeti darat ikan jadi ‘topeng’ seludup diesel, RM2.82 juta dirampas

Jeti darat ikan jadi ‘topeng’ seludup diesel, RM2.82 juta dirampas

PRN Melaka: Buang ego ideologi, teladani diplomasi Hudaibiyah dalam rundingan – Tajuddin

PRN Melaka: Buang ego ideologi, teladani diplomasi Hudaibiyah dalam rundingan – Tajuddin

Belanjawan 2027: Rakyat perlu pendapatan lebih kukuh, bukan sekadar bantuan

Belanjawan 2027: Rakyat perlu pendapatan lebih kukuh, bukan sekadar bantuan

‘Ibarat menang Piala Dunia’, Abdullah Saidol syukur Jambatan Batang Paloh siap

‘Ibarat menang Piala Dunia’, Abdullah Saidol syukur Jambatan Batang Paloh siap

AMK Miri mahu Belanjawan Sarawak 2027 fokus peluang pekerjaan, rumah mampu milik

AMK Miri mahu Belanjawan Sarawak 2027 fokus peluang pekerjaan, rumah mampu milik