
TAWAU – Seekor buaya tembaga jantan seberat 87 kilogram (kg) berjaya ditembak mati dalam operasi mitigasi reptilia terbabit di Kampung Baru Pasir Putih, di sini, pada Rabu.
Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau memaklumkan, buaya sepanjang lapan kaki tujuh inci itu ditembak selepas tersangkut pada pancing buaya yang dipasang pihak JHL.
“Bertindak atas maklumat kehadiran buaya pada 21 September lalu, JHL memasang dua unit pancing buaya dan menukar umpan baru setiap 3 hari.
“Kita kemudian mendapati gelen (jerikin) pancing buaya telah jatuh ke sungai dan seekor buaya tersangkut pada pancing tersebut,” menurut JHL, pada Khamis.
Bangkai buaya kemudiannya dibawa untuk tujuan pelupusan.


