
TAWAU – Belanjawan 2027 diharap menjadi instrumen penting mempercepat pembangunan Sabah sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap komitmen Kerajaan MADANI dalam menangani keperluan Sabah.
Ketua Cabang PKR Tawau, Fung Thin Yein berkata, peruntukan yang disediakan itu perlu memberi kesan langsung kepada rakyat khususnya dalam aspek infrastruktur, pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan kos sara hidup.
“Kita berharap Bajet 2027 membawa berita baik kepada Sabah dan rakyatnya, terutama dari segi pembangunan infrastruktur, peluang ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Apa yang penting, peruntukan yang diumumkan perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan di lapangan,” katanya kepada wartawan The Malaysia Press, pada Khamis.
Menurut Thin Yein, peruntukan pembangunan juga perlu dipertingkat dan pelaksanaannya hendaklah sampai kepada rakyat, bukan hanya tertumpu kepada kawasan bandar tetapi turut meliputi kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Selain perhatian kepada ekonomi dan kebajikan, kemudahan asas bagi memastikan rakyat Sabah dapat menikmati manfaat pembangunan secara lebih menyeluruh jug perlu diberi perhatian.
“Ia hendaklah mengambil kira keperluan sebenar rakyat Sabah,” ujarnya.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat.


