MB Kedah, jangan biar rakyat terus meneka!

MENTERI BESAR Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, tidak boleh membiarkan rakyat terus tertanya-tanya berhubung status tanah yang dikaitkan dengan Projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar berkata, persoalan itu semakin wajar dijawab secara terbuka susulan penahanan seorang pengarah syarikat oleh polis berhubung siasatan dakwaan pecah amanah membabitkan RM40 juta.

Menurut beliau, rakyat tidak meminta kerajaan negeri membuat kesimpulan terhadap siasatan polis, sebaliknya hanya mahu satu perkara yang paling asas — penjelasan mengenai tanah dan transaksi yang berkaitan dengannya.

“Pada 2022, Kerajaan Negeri Kedah memaklumkan Projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani akan dibangunkan di atas tanah milik Menteri Besar Incorporated (MBI) seluas kira-kira 60 hektar.

“Namun, rekod korporat menunjukkan pada Januari 2023 berlaku transaksi tanah antara MBI dengan PKB Open Road (SP Circuit) Sdn. Bhd. bernilai kira-kira RM24.3 juta.

“Jadi, soalan paling mudah ialah: adakah tanah yang dijual MBI kepada PKB Open Road itu tanah yang sama yang diumumkan sebagai tapak projek litar lumba?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, jika jawapannya ya, kerajaan negeri perlu menjelaskan apakah status tanah tersebut sekarang dan apakah kepentingan MBI serta PKB selepas transaksi berkenaan.

Jika jawapannya tidak, beliau mahu kerajaan negeri menyatakan dengan jelas di manakah tanah sebenar yang diperuntukkan sebagai tapak projek litar lumba tersebut.

“Jangan sampai rakyat hanya tahu mengenai projek, tetapi apabila timbul persoalan mengenai tanahnya, semuanya menjadi kabur.

“Kerajaan negeri perlu berani meletakkan fakta di atas meja. Tanah mana? Milik siapa? Dijual kepada siapa? Dan sekarang siapa yang mempunyai kepentingan terhadap tanah tersebut?” soalnya.

RM40 juta pula, kebetulan atau transaksi yang sama?

Mahfuz turut membangkitkan persoalan mengenai transaksi RM40 juta pada 2024 yang membabitkan pengambilalihan saham dalam sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan terhadap tanah di Sungai Petani.

Katanya, jumlah tersebut mempunyai persamaan yang ketara dengan nilai RM40 juta yang kini disebut dalam siasatan polis.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak membuat kesimpulan bahawa kedua-dua transaksi itu adalah perkara yang sama.

“Saya tidak mengatakan kedua-duanya adalah transaksi yang sama. Tetapi rakyat berhak mengetahui.

“Adakah RM40 juta yang sedang disiasat polis itu merupakan transaksi RM40 juta yang direkodkan dalam urusan korporat tersebut?” katanya.

Mahfuz berkata, persoalan itu tidak sepatutnya dijawab dengan politik atau serangan balas kerana yang diminta hanyalah fakta dan ketelusan.

“Apabila tanah yang dikaitkan dengan projek kerajaan negeri melibatkan transaksi puluhan juta ringgit, rakyat berhak tahu perjalanan pemilikan tanah tersebut.

“Daripada siapa kepada siapa? Atas kapasiti apa? Dan apakah kedudukan kerajaan negeri selepas transaksi itu?” katanya.

Beliau menegaskan, penjelasan terbuka adalah jalan terbaik untuk menutup ruang spekulasi yang boleh menimbulkan lebih banyak persoalan.

“Kalau semuanya terang, jelaskan. Kalau ada kekeliruan, terangkan.

“Jangan biarkan rakyat meneka-neka apabila yang dipersoalkan ialah tanah dan transaksi bernilai puluhan juta ringgit,” katanya.

  • Related Posts

    Dasar pendidikan percuma terus ditambah baik, pelaksanaan secara berperingkat – Adam Adli

    USAHA menyediakan pendidikan percuma telah dilaksanakan secara berperingkat termasuk melalui pelupusan hutang masa depan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terhadap 10,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah berdasarkan garis kemiskinan.…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    Najib sudah dimaklumkan SOP pelaksanaan tahanan rumah

    KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dimaklumkan mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelaksanaan tahanan rumah. Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    Jalan baharu Sare-Sentebu mudahkan akses, jimatkan masa perjalanan ke Sarikei

    Jalan baharu Sare-Sentebu mudahkan akses, jimatkan masa perjalanan ke Sarikei

    Wartawan Labuan perlu kaki palsu baharu, terima sumbangan Kasih@HAWANA

    • By Ezmie
    • October 7, 2026
    Wartawan Labuan perlu kaki palsu baharu, terima sumbangan Kasih@HAWANA

    CCTV sekolah berasrama di Perlis fokus kawasan asrama

    CCTV sekolah berasrama di Perlis fokus kawasan asrama

    KTC lahirkan 256 graduan mahir dalam tempoh 15 tahun

    • By Ezmie
    • October 7, 2026
    KTC lahirkan 256 graduan mahir dalam tempoh 15 tahun

    Jerebu: Semua sekolah di Johor ditutup dua hari mulai Khamis

    Jerebu: Semua sekolah di Johor ditutup dua hari mulai Khamis

    MB Kedah, jangan biar rakyat terus meneka!

    MB Kedah, jangan biar rakyat terus meneka!