
PAS dilihat mencipta pelbagai naratif dan percaturan politik untuk memastikan parti itu terus relevan serta berada di puncak kuasa, termasuk memainkan watak mangsa dalam kemelut dengan Bersatu, kata Prof Mohd Tajuddin Mohd Rasdi.
Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) itu berkata, strategi berkenaan membolehkan Pas mengubah sesuatu perkembangan yang dilihat merugikan kepada peluang meraih simpati dan mengukuhkan sokongan politik.
“Dalam politik, kalau menang, kita menang. Kalau kalah, kita kena menang juga. Itu politik.
“Dalam hal ini, Pas kemungkinan besar akan kalah dari sudut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), tetapi mereka boleh menang dari sudut simpati serta kebencian kepada Bersatu dan juga PH,” katanya.
Prof Tajuddin berkata, Pas boleh menggunakan pelbagai naratif sekiranya Perikatan Nasional (PN) dikenakan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), termasuk mendakwa tindakan berkenaan menjejaskan masa depan Melayu dan Islam atau mengaitkannya dengan pihak tertentu.
“Kalau mereka kalah, mereka boleh mengatakan ini kerja Bersatu, ini kerja PH, ini kerja DAP. Macam-macam boleh dimainkan.
“Itulah ‘playing the victim’ yang paling hebat,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Selasa.
Kenyataan itu dibuat ketika Bersatu hari ini turut menuduh kepimpinan PN cuba memainkan watak mangsa dalam kemelut dalaman gabungan berkenaan.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, meminta PN menjawab aduan Bersatu kepada RoS dengan fakta dan dokumen, bukannya menggambarkan gabungan itu sebagai pihak yang dizalimi. Beliau turut mencabar kepimpinan PN supaya menjawab satu persatu aduan berkenaan sekiranya tiada pelanggaran Perlembagaan PN.
Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, perkembangan itu menunjukkan isu RoS juga boleh menjadi sebahagian daripada percaturan politik yang lebih besar bagi Pas untuk mengekalkan kedudukannya dalam persaingan mendapatkan kuasa.
Beliau berkata, pergolakan Pas-Bersatu perlu dilihat dalam konteks usaha Pas mencari rakan politik yang mempunyai kekuatan untuk membantu parti itu mencapai matlamat berkenaan.
Menurutnya, Pas sebelum ini pernah bekerjasama dengan UMNO ketika parti itu mempunyai kuasa sebelum beralih kepada Bersatu selepas perubahan politik negara.
“Apabila Bersatu tidak lagi mempunyai kuasa selepas PRU15, Pas perlu mencari kawan baharu yang mempunyai kuasa. Sebab itu UMNO kembali menjadi pilihan.
“Kalau Pas mahu berkawan dengan UMNO, Bersatu menjadi masalah kerana kedua-dua parti mempunyai sejarah pertentangan politik,” katanya.
Tajuddin turut berpandangan Pas sejak awal mempunyai perancangan untuk mengetengahkan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon Perdana Menteri.
“Dari awal lagi saya sudah sebut Pas mahu menggantikan Muhyiddin dengan Hamzah Zainudin. Tetapi apabila Hamzah disingkirkan daripada Bersatu, rancangan itu sedikit tersekat.
“Apabila Hamzah pula menerima Wawasan, saya melihat itu sebahagian daripada rancangan Pas untuk menonjolkan Hamzah sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, percaturan itu menunjukkan Pas sentiasa mempunyai strategi dan naratif baharu bagi memastikan parti berkenaan mempunyai laluan untuk mendapatkan kuasa.
Dalam perkembangan berkaitan, PN pada Isnin memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar tindakan RoS berhubung notis hasrat membatalkan pendaftaran serta penggantungan aktiviti gabungan itu.
Mahkamah menetapkan 13 Oktober untuk mendengar permohonan kebenaran berkenaan.






