PUTRAJAYA – Tindakan lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pelajar di sekolah benar-benar terjamin susulan kematian seorang pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Yong Peng, kelmarin.
Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair, Bibi Sunita S. Khan berkata, audit keselamatan sekolah dilaksanakan secara serius, kawalan keluar masuk diperketatkan dan kawasan berisiko dikenal pasti.
Menurut beliau, keselamatan pelajar tidak seharusnya menjadi isu politik sebaliknya merupakan amanah negara yang perlu diberi keutamaan.
“Sistem aduan berkaitan buli dan ancaman perlu diperkukuh manakala pengawasan ketika aktiviti selepas waktu persekolahan perlu diperjelaskan. Yang paling penting, KPM mesti memulihkan keyakinan ibu bapa.
“Kita tidak meminta sesuatu yang luar biasa. Kita cuma mahu seorang ibu boleh menghantar anaknya ke sekolah pada waktu pagi tanpa rasa takut sama ada anak itu akan pulang dengan selamat pada petang nanti,” katanya menerusi kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Bibi Sunita berkata, tragedi berkenaan sekali lagi menimbulkan persoalan besar mengenai tahap keselamatan sekolah dan keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan.
Bagaimanapun, beliau berkata, semua pihak perlu menghormati proses siasatan dan tidak mendahului pihak berkuasa selepas polis telah menahan seorang remaja berusia 16 tahun dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,
“Berapa banyak lagi kes kematian pelajar yang perlu berlaku sebelum kita benar-benar bertindak?
“Perkara yang tidak boleh diketepikan ialah hak ibu bapa untuk mempersoalkan sama ada sekolah hari ini benar-benar selamat untuk anak-anak mereka,” katanya.
Beliau turut mengambil maklum arahan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, supaya pemeriksaan menyeluruh terhadap pengurusan dan keselamatan sekolah berkenaan dilakukan termasuk rekod kehadiran murid, kawalan keselamatan serta rondaan.
Katanya, tindakan tegas juga perlu dikenakan sekiranya terdapat kecuaian yang dibuktikan.
“Namun persoalan rakyat lebih besar daripada satu kejadian. KPM sendiri telah mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat pada 2026.
“Selepas seorang murid maut ditikam di sebuah sekolah di Selangor pada Oktober 2025, KPM juga telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat kejadian tersebut.
“Jadi persoalannya sekarang, di manakah kelemahannya? Adakah SOP tidak mencukupi atau pelaksanaannya yang gagal?” soalnya.
Bibi Sunita berkata, setiap kali tragedi berlaku, kerajaan tidak boleh sekadar menyampaikan ucapan takziah dan mengumumkan siasatan sebelum menunggu kejadian seterusnya berlaku.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan ibu bapa yang mungkin mula mempertimbangkan pendidikan di rumah kerana hilang keyakinan terhadap keselamatan sekolah.
“Pilihan itu bagaimanapun bukan sesuatu yang mudah, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal serta pasangan yang kedua-duanya perlu bekerja untuk menyara keluarga.
“Keluarga yang mempunyai kemampuan kewangan mungkin mempunyai lebih banyak pilihan seperti pendidikan alternatif atau sekolah swasta.
“Tetapi bagaimana dengan keluarga B40? Mereka tidak sepatutnya dipaksa memilih antara mencari rezeki dan keselamatan anak. Sekolah sepatutnya menjadi tempat anak-anak belajar, membesar, berkawan dan mengejar cita-cita.
“Bukan tempat ibu bapa menghantar anak dengan ketakutan. KPM mesti bertindak dan memulihkan semula keyakinan rakyat bahawa sekolah kita selamat,” katanya.





