
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya akan meneliti dakwaan perbelanjaan berlebihan berjumlah RM2.1 bilion oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sekiranya menerima aduan rasmi berhubung perkara itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi dan hanya mengetahui dakwaan berkenaan menerusi laporan media.
“Kita baca melalui media massa sahaja. Belum ada lagi secara rasmi. Jadi saya tidak fikir wajar untuk saya komen.
“Apabila perkara itu diadukan secara rasmi kepada pihak kami, sudah tentu pihak kami akan masuk (menyiasat),” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-59 SPRM dan Perhimpunan Bulanan SPRM Bil. 4/2026 di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Penasihat DAP, Lim Guan Eng, menggesa SPRM mengambil tindakan terhadap KKDW berhubung dakwaan perbelanjaan berlebihan sebanyak RM2.1 bilion.
Dakwaan itu timbul ketika Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini dilaporkan berkata kementerian berkenaan tidak akan membelanjakan peruntukan melebihi jumlah yang diluluskan kerajaan.
Ahmad Zahid berkata, perbelanjaan kementerian adalah berdasarkan peruntukan yang dinyatakan dalam belanjawan atau jumlah yang telah diluluskan kerajaan.







