
PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu melihat konteks persetujuan kerajaan kepada kerajaan (G2G) dalam proses penghantaran pulang pelarian Myanmar oleh Malaysia, kata Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Prof Dr Azmi Hassan.
Beliau berkata, tindakan Malaysia berbeza daripada penghantaran pelarian secara unilateral kerana proses berkenaan dibuat dengan persetujuan kerajaan Myanmar.
Azmi berkata, kritikan terhadap Malaysia lebih berasas sekiranya penghantaran berkenaan dilakukan secara sebelah pihak tanpa persetujuan negara asal.
“Kalau penghantaran pelarian itu dilakukan secara sehala, iaitu hanya Malaysia yang melakukan, seperti yang dibuat Amerika Syarikat pada ketika ini, maka PBB mempunyai hak untuk mengkritik Malaysia.
“Tetapi proses penghantaran pelarian Myanmar, yang kebanyakannya etnik Rohingya, dilakukan dengan persetujuan kerajaan Myanmar itu sendiri.
“Jadi, ini adalah persetujuan yang dibuat antara kerajaan dengan kerajaan atau G2G,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Khamis.

Beliau berkata demikian susulan kebimbangan Agensi Pelarian PBB (UNHCR) terhadap penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar dari Malaysia pada Selasa lalu, termasuk wanita dan kanak-kanak.
UNHCR berkata, keadaan konflik dan kemanusiaan di Myanmar ketika ini menimbulkan risiko serius kepada mereka yang dihantar pulang, selain mempersoalkan sama ada keputusan untuk pulang benar-benar dibuat secara sukarela dan berdasarkan maklumat mencukupi.
Azmi berkata, proses itu juga perlu dilihat daripada sudut usaha Malaysia memastikan kebajikan pelarian terbabit terus diberi perhatian selepas mereka kembali ke Myanmar.
“Dalam hal ini, kita menjaga kepentingan pelarian untuk menentukan supaya pelarian itu dilayan dengan betul oleh kerajaan Myanmar,” katanya.
Pada Selasa lalu, Malaysia melaksanakan fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela membabitkan 1,476 warga Myanmar yang ditahan di depoh imigresen.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan penghantaran itu adalah sebahagian daripada persetujuan dengan Myanmar yang membabitkan sehingga 5,000 warga negara berkenaan. Kerajaan turut menegaskan faktor keselamatan dan risiko penganiayaan akan dinilai sebelum penghantaran dilakukan.
Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, memaklumkan 3,524 lagi warga Myanmar sudah diluluskan untuk penghantaran pulang dalam fasa kedua, dengan tarikh pelaksanaan masih menunggu makluman daripada pihak Myanmar.



