Projek solar 1GW Helios di Gua Musang sasar operasi komersial akhir 2028

GUA MUSANG – Helios Photovoltaic Sdn Bhd memulakan fasa pra-pembangunan Taman Solar Helios di Gua Musang, Kelantan yang mempunyai kapasiti penjanaan sehingga 1,000 megawatt-peak (MWp) serta dilengkapi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berkapasiti 1,600 megawatt-jam (MWh).

Projek bernilai kurang RM3 bilion itu disasarkan mencapai operasi komersial menjelang akhir 2028 bagi menyokong pelaksanaan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) di Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Helios Solar AG, Zuraidi Ishak berkata, projek berkenaan kini berada pada peringkat pra-pembangunan melibatkan kerja teknikal, kajian sambungan grid, penilaian alam sekitar, perancangan pembiayaan serta rundingan bersama bakal pembeli tenaga.

Beliau berkata, pembangunan Taman Solar Helios akan melibatkan kira-kira 3,000 ekar daripada keseluruhan pegangan tanah seluas kira-kira 10,000 ekar di Gua Musang.

Katanya, sasaran operasi komersial itu tertakluk kepada hasil kajian teknikal, ketersediaan grid serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

“Kita sasarkan penghujung 2028, fasa pertama sudah boleh berjalan. Sebab kita mahu mengejar inisiatif CRESS dan itu adalah sasaran kita,” katanya selepas sidang media majlis menandatangani perjanjian Projek Taman Solar Helios Gua Musang, hari ini.

Bagi memastikan pembangunan projek berjalan mengikut perancangan, Helios melantik empat perunding bagi melaksanakan kerja teknikal utama pada peringkat pra-pembangunan.

Perunding berkenaan ialah AHAR Consultant PLT (AHARC) bagi kejuruteraan utama dan voltan tinggi, Angkasa Consulting Services Sdn Bhd bagi kejuruteraan awam, struktur serta mekanikal dan elektrikal, Total Power Solutions Sdn Bhd (TOPS) bagi kajian sistem kuasa serta TNB Labs bagi penilaian impak alam sekitar dan sosial.

Zuraidi berkata, pelantikan perunding itu merupakan antara langkah awal sebelum projek bergerak ke fasa seterusnya, termasuk proses penutupan kewangan.

“Milestone pertama yang kita sudah capai hari ini ialah pelantikan semua perunding yang mempunyai kredibiliti dan pengalaman luas dalam bidang ini.

“Kita akan melihat hasil kajian kebolehlaksanaan (FS) dalam tempoh tiga bulan akan datang sebelum bergerak ke arah penutupan kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, anggaran kos pembangunan projek adalah kurang RM3 bilion, tidak termasuk kos berkaitan pembangunan dan perkhidmatan profesional.

Helios turut meneroka beberapa mekanisme pembiayaan melalui instrumen ekuiti dan pasaran modal bagi menyokong pembangunan projek berkenaan.

Syarikat itu juga bekerjasama dengan KLDX bagi meneroka peluang pembiayaan dan laluan komersial berkaitan projek, termasuk tokenisasi sijil tenaga boleh baharu (REC), kredit karbon serta pendekatan Virtual Power Purchase Agreement (VPPA) bagi mendapatkan pembeli tenaga.

Kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan pelanggan korporat yang mempunyai keperluan terhadap tenaga boleh baharu, termasuk sektor pusat data yang menggunakan tenaga dalam jumlah besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Helios Photovoltaic Sdn Bhd berkata, pihaknya telah menerima beberapa pertanyaan daripada bakal pelanggan, terutama dalam sektor pusat data.

“Kita sudah menerima banyak pertanyaan daripada pusat data yang akan dibangunkan. Seperti yang kita tahu, pusat data menggunakan tenaga dalam jumlah yang sangat besar.

“Jadi, projek ini datang pada masa yang tepat untuk memenuhi keperluan tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Helios Photovoltaic Sdn Bhd turut memeterai surat hasrat bersama Power China menerusi Sinohydro Corporation (M) Sdn Bhd bagi meneroka kerjasama dalam aspek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) projek berkenaan.

Kerjasama itu menjadi langkah awal ke arah pembentukan perjanjian EPCC yang lebih menyeluruh, dengan terma teknikal dan komersial akan dimuktamadkan pada fasa pembangunan seterusnya.

Gambar: Astro Awani

Related Posts

Operasi CJ Bio Malaysia di Kerteh didakwa bakal berakhir, nasib lebih 450 pekerja jadi persoalan

KEMAMAN— Operasi kilang bioteknologi CJ Bio Malaysia di Kerteh didakwa bakal ditamatkan pada 15 Oktober ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai nasib lebih 450 pekerja yang dikatakan terkesan. Maklumat ini…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Warga Myanmar mabuk belasah polis didakwa di mahkamah

RAUB – Dua warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi menghadapi pertuduhan bersama menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis, bulan lepas. Bagaimanapun, pertuduhan terhadap kedua-dua lelaki…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sembilan emas Aichi-Nagoya bukti kesungguhan atlet Malaysia – PM

Sembilan emas Aichi-Nagoya bukti kesungguhan atlet Malaysia – PM

Pemulihan kuarters TUDM Sungai Besi Land perlu disegerakan – PM

Pemulihan kuarters TUDM Sungai Besi Land perlu disegerakan – PM

Tunggakan hasil lebih RM200 juta, JPJ gantung MYEG, Zetrix mulai Isnin

Tunggakan hasil lebih RM200 juta, JPJ gantung MYEG, Zetrix mulai Isnin

Azizulhasni raih pingat emas keirin, tepati ramalan

Azizulhasni raih pingat emas keirin, tepati ramalan

‘Lebai’ Pas salah guna kuasa, khianat dan fitnah – Tun Faisal

‘Lebai’ Pas salah guna kuasa, khianat dan fitnah – Tun Faisal

Ruang bersuara terbuka, Chean Chung pilih tidak hadir

Ruang bersuara terbuka, Chean Chung pilih tidak hadir