
KUCHING – Keganasan rumah tangga, penuaan penduduk, jenayah siber serta jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak dikenal pasti sebagai empat isu sosial utama yang diberi tumpuan menerusi Integrated Sarawak Social Intervention Programme (ISSIP) Focus 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kesemua isu berkenaan memerlukan tindakan bersepadu merentasi agensi kerana ia melibatkan pelbagai aspek kesejahteraan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutupan ISSIP Focus 2026 di Raia Hotel & Convention Centre, pada Khamis.
Dalam isu keganasan rumah tangga, beliau berkata jumlah keseluruhan kes di Sarawak menunjukkan sedikit penurunan, namun kes membabitkan mangsa wanita meningkat daripada 371 kes pada tahun 2024 kepada 382 kes pada tahun 2025.
Menurutnya, mangsa wanita merangkumi 71.4 peratus daripada keseluruhan 535 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan pada tahun lalu.
Mengenai jenayah seksual, Fatimah mendedahkan bahawa setakat 18 September lalu, sebanyak 146 kes rogol, 120 kes amang seksual terhadap kanak-kanak (AKSTK), 41 kes cabul dan 14 kes liwat telah direkodkan di Sarawak.
Bagi jenayah siber pula, beliau berkata sebanyak 5,875 kes telah direkodkan di negeri itu bagi tempoh tahun 2024 hingga April 2026 dengan jumlah kerugian mencecah sekitar RM233.48 juta.
“Pada tahun 2024, sebanyak 1,957 kes direkodkan dengan kerugian berjumlah RM76.71 juta. Jumlah tersebut meningkat kepada 2,662 kes pada tahun 2025, dengan kerugian mencecah RM109.17 juta,” katanya.
Menyentuh isu penuaan penduduk, Fatimah memberitahu bahawa Sarawak mempunyai kira-kira 333,200 penduduk berumur 60 tahun dan ke atas pada tahun 2025, yang mewakili 13.2 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk negeri.
Susulan itu, katanya, Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Sarawak telah menjalankan kajian melibatkan 6,094 responden di 12 bahagian dan 45 daerah bagi memahami profil serta cabaran penuaan dengan lebih mendalam.
Jelasnya, kajian yang bertajuk ‘Research on Preparation for an Ageing Sarawak: The Profile of and Ageing Issues of Older Persons in Sarawak’ itu akan menjadi rujukan penting dalam pembangunan ‘Sarawak Ageing Blueprint’ kelak.
Beliau menambah, program ISSIP Focus 2026 yang bertemakan ‘Integrated Action, Shared Responsibility’ itu bertindak sebagai platform untuk pelbagai pihak berkongsi data dan pengalaman dalam menangani isu sosial secara holistik.

Turut hadir, Setiausaha Eksekutif MPS Sarawak, Riziandy Nawawi yang mewakili Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti.




