GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) kini berada dalam kelompok 15 peratus universiti teratas atau 350 buah universiti terbaik dunia daripada keseluruhan 2,297 universiti yang dinilai oleh Times Higher Education (THE) World University Rankings 2027.
Menurut USM, kedudukan itu meneruskan kemajuan universiti tersebut di persada antarabangsa selepas berada dalam kelompok 601–800 pada 2020 hingga 2023 dan kelompok 401–500 pada 2024 hingga 2026.
“Lebih membanggakan, USM turut mencatatkan peningkatan skor dalam kesemua lima komponen penilaian THE sekali gus memperlihatkan kemajuan universiti penyelidikan itu dalam persaingan akademik di peringkat global,” katanya di sini, hari ini.
Universiti itu memaklumkan, komponen pengantarabangsaan kekal menjadi kekuatan utama USM ketika ini dengan skor sebanyak 80.4, meningkat daripada 76.5 pada edisi sebelumnya sekali gus mencerminkan penglibatan pelajar dan staf antarabangsa serta penyelidikan bersama rakan akademik dari pelbagai negara.
“Hubungan dengan industri turut mencatat peningkatan ketara apabila skor komponen Industri melonjak 10.6 mata kepada 75.1, iaitu peningkatan terbesar antara lima komponen penilaian THE.
“Prestasi ini secara tidak langsung memperkukuh kedudukan pemindahan ilmu sebagai antara kekuatan USM, khususnya dalam menghubungkan hasil penyelidikan dengan inovasi dan pembangunan teknologi,” katanya.





