Lima individu didakwa dengan 22 pertuduhan berkaitan dokumen palsu baik pulih rumah PPRT

KOTA KINABALU – Empat pemilik syarikat dan seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini, terhadap keseluruhan 22 pertuduhan berkaitan dokumen palsu bagi kerja baik pulih rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Tertuduh ialah Ashar Usman, 45; Shariff Wahya, 55; Kenidi Musa, 41; Mohd Nur Musa, 42, dan penjawat awam, Aidah Mustapha, 54.

Kesemua tertuduh membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.

Ashar, pemilik Asyikin Enterprise, dan Shariff, pemilik SW Global serta SW Global Venture, masing-masing berdepan satu pertuduhan membabitkan dokumen pesanan belian bernilai RM14,933 dan RM14,999.

Kenidi, pemilik Nur Enterprise, pula menghadapi lima pertuduhan membabitkan invois bernilai antara RM14,996 hingga RM14,998 bagi kerja baik pulih lima rumah.

Mohd Nur, pemilik Alyanazmi Enterprise, turut berdepan lima pertuduhan membabitkan dokumen pesanan belian bernilai antara RM14,934 hingga RM15,000, termasuk empat dokumen bagi Reestina Enterprise.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memberikan dokumen mengandungi pernyataan palsu kepada Pengarah GIATMARA Sabah, Saflee Ag Damit bagi mengelirukan prinsipalnya berhubung pelaksanaan kerja baik pulih rumah PPRT.

Kerja berkenaan didakwa tidak dilaksanakan atau tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, dengan kesalahan didakwa dilakukan antara Februari hingga September 2021.

Sementara itu, Aidah menghadapi empat pertuduhan memberikan invois CD Family Enterprise mengandungi pernyataan palsu, bernilai antara RM14,996.50 hingga RM15,000.

Dia turut berdepan enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen bagi mendapatkan bayaran kerja baik pulih rumah PPRT.

Dokumen berkenaan termasuk perakuan serahan siap kerja, borang permohonan PPRT, borang kebenaran menggunakan tanah, borang pengesahan dan akuan penerima projek serta borang profil peserta.

Kesalahan membabitkan Aidah didakwa dilakukan di pejabat GIATMARA Sabah, di sini, pada April 2021.

Sebanyak 16 pertuduhan terhadap lima tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Enam lagi pertuduhan terhadap Aidah dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 masing-masing terhadap Ashar dan Shariff, dengan deposit RM3,000 serta RM1,000, masing-masing bersama seorang penjamin tempatan.

Kenidi dibenarkan diikat jamin RM15,000 dengan deposit RM5,000 bersama dua penjamin tempatan, manakala Mohd Nur dikenakan jaminan dan deposit sama bersama seorang penjamin tempatan.

Aidah pula dibenarkan diikat jamin RM20,000 dengan deposit RM5,000 bersama dua penjamin tempatan.

Semua tertuduh turut diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mendekati saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 28 Oktober depan bagi pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala Aidah diwakili peguam Jessica Ombou. Empat tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Related Posts

USM dalam kelompok 15 peratus universiti teratas, terbaik dunia

GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) kini berada dalam kelompok 15 peratus universiti teratas atau 350 buah universiti terbaik dunia daripada keseluruhan 2,297 universiti yang dinilai oleh Times Higher…

Lebih lanjut

teruskan membaca
SAFMA perluas peluang perniagaan dalam sektor perikanan

SEMPORNA – Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) berhasrat memperluaskan peluang perniagaan dalam sektor perikanan menerusi kerjasama strategik dengan institusi kewangan, termasuk Agrobank. Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar berkata, kerjasama…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

USM dalam kelompok 15 peratus universiti teratas, terbaik dunia

USM dalam kelompok 15 peratus universiti teratas, terbaik dunia

Lima individu didakwa dengan 22 pertuduhan berkaitan dokumen palsu baik pulih rumah PPRT

  • By Ezmie
  • September 30, 2026
Lima individu didakwa dengan 22 pertuduhan berkaitan dokumen palsu baik pulih rumah PPRT

Pertumbuhan Terengganu susut, dakwaan ekonomi terus kukuh perlu diperincikan

Pertumbuhan Terengganu susut, dakwaan ekonomi terus kukuh perlu diperincikan

Malaysia dijangka terima kunjungan Presiden Mesir, Myanmar minggu depan

Malaysia dijangka terima kunjungan Presiden Mesir, Myanmar minggu depan

Malaysia komited perkukuh daya tahan, kemampanan sektor pelancongan ASEAN

Malaysia komited perkukuh daya tahan, kemampanan sektor pelancongan ASEAN

SAFMA perluas peluang perniagaan dalam sektor perikanan

SAFMA perluas peluang perniagaan dalam sektor perikanan