
KOTA KINABALU – Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah memperkukuh kerjasama meningkatkan kesedaran keselamatan elektrik dalam kalangan anggota polis di lapangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Mohd Yaakob Jaafar berkata, kerjasama dengan PDRM merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Sabah Electricity untuk memperkukuh budaya keselamatan elektrik.
“Ia bukan sahaja dalam organisasi, tetapi juga dalam kalangan agensi kerajaan dan komuniti.
“Sabah Electricity percaya usaha bersepadu bersama PDRM dan agensi kerajaan lain dapat membantu memperkukuh kesedaran serta budaya pencegahan kemalangan elektrik dalam kalangan masyarakat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas penganjuran Program Taklimat Kesedaran Keselamatan Elektrik kepada anggota PDRM Kontinjen Sabah di IPK Kepayan, pada Rabu.
Delegasi Sabah Electricity sebelum itu turut mengadakan kunjungan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Menurut Mohd Yaakob, keselamatan elektrik memerlukan kesedaran yang tinggi, terutama dalam kalangan petugas yang mungkin berhadapan dengan pepasangan elektrik dalam menjalankan tugasan mereka.
Oleh itu karanya, kunjungan itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan kerjasama strategik antara PDRM dan Sabah Electricity khususnya dan membincangkan isu keselamatan elektrik, ketenteraman awam, serta kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Cadangan kerjasama itu turut mengambil kira kejadian kemalangan melibatkan tiga anggota PDRM di Weston, Beaufort yang mengakibatkan kehilangan nyawa akibat terkena renjatan elektrik.
“Kejadian tersebut menjadi peringatan bersama mengenai pentingnya pengetahuan dan kesedaran keselamatan elektrik, khususnya bagi anggota yang menjalankan tugas dalam pelbagai keadaan di lapangan.
“Justeru, program ini akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh Sabah, dengan fokus kepada pengenalpastian bahaya elektrik, risiko renjatan serta langkah keselamatan ketika berdepan situasi berkaitan elektrik” jelasnya.
Sebagai rekod, seramai 300 anggota polis menyertai taklimat secara bersemuka dan dalam talian sekali gus memperluas penyampaian maklumat keselamatan elektrik di seluruh Sabah.



