
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penyelarasan antara agensi diperkukuh bagi memastikan tindakan penguatkuasaan berkaitan harga barangan asas dan pencatutan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Anwar berkata, perkara itu antara yang diberi perhatian ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bil. 2/2026 hari ini.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan turut memberi tumpuan kepada cadangan inisiatif dan langkah segera bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat menerusi Belanjawan 2027.
“Saya turut meneliti perkembangan penguatkuasaan KPDN dalam mengawal harga barangan asas dan membanteras pencatutan di seluruh negara.
“Saya arahkan supaya penyelarasan antara agensi diperkukuh supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar berkata, kerajaan juga akan terus memantau perkembangan geopolitik dunia serta kesannya terhadap harga dan bekalan keperluan asas.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan sebarang tekanan terhadap kos sara hidup rakyat dapat ditangani dengan segera dan berkesan.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan geopolitik dunia dan kesannya terhadap harga serta bekalan keperluan asas agar sebarang tekanan terhadap kos sara hidup rakyat dapat ditangani dengan segera dan berkesan,” katanya.







