
SANDAKAN – Sandakan memerlukan dorongan lebih kukuh dan bersepadu daripada kerajaan bagi memulihkan ekonominya serta kembali ke landasan pertumbuhan yang mampan.
Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Chong Thien Ming berkata, komuniti perniagaan di bandar itu terjejas teruk sejak penularan COVID-19 apabila beberapa kilang utama terpaksa ditutup, manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula bergelut untuk meneruskan operasi.
“Banyak perniagaan berdepan keadaan perniagaan yang tidak menentu selain komitmen kewangan kepada bank termasuk overdraf dan pinjaman berjangka.
“Ada yang terpaksa mengurangkan tenaga kerja, memberhentikan pekerja atau akhirnya menutup operasi,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Menurut Chong, walaupun ekonomi Sandakan kini menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur, kadarnya masih perlahan dan banyak perniagaan terus mengambil pendekatan berhati-hati.
“Kelangsungan perniagaan sahaja tidak boleh dijadikan strategi ekonomi jangka panjang, sebaliknya Sandakan perlu mewujudkan peluang baharu, menarik pelaburan dan membina semula keyakinan sebagai destinasi perniagaan.
“Bagaimanapun MPS tidak boleh memulihkan ekonomi Sandakan secara bersendirian kerana usaha ini memerlukan penglibatan kerajaan negeri dan Persekutuan, agensi pelaburan serta sektor swasta,” kongsinya.
Dalam pada itu Chong turut mengakui usaha Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dalam menghidupkan semula pusat bandar, menambah baik kemudahan awam dan mewujudkan persekitaran lebih mesra perniagaan.
“Apa yang Sandakan perlukan bukan sekadar pencantikan bandar, tetapi pelaburan, kilang, industri hiliran, peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi baharu.
“Antara sektor yang boleh diberi tumpuan termasuk pembuatan, industri hiliran, pemprosesan makanan dan logistik kerana berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan serta membantu perniagaan tempatan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan pemulihan ekonomi perlu memastikan PKS tempatan mendapat manfaat melalui peluang menjadi pembekal, kontraktor, pengendali pengangkutan dan penyedia perkhidmatan kepada pelaburan baharu.
Dalam perkembangan berkaitan, Chong menyambut baik jangkaan penglibatan Petronas dalam sektor gas yang disifatkannya sebagai peluang ekonomi baharu kepada Sandakan.
Katanya, sekiranya semua dokumentasi dan kelulusan berkaitan selesai, pembangunan itu berpotensi dimulakan seawal tahun depan, manakala operasi sektor gas dijangka bermula sekitar 2029.
“Ini peluang yang perlu kita persiapkan dari sekarang. Jangan tunggu sehingga projek bermula sebelum kita bertanya bagaimana perniagaan Sandakan boleh mengambil bahagian,” katanya.

