
KOTA KINABALU – Seorang penjawat awam dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Isnin, atas pertuduhan berasingan membabitkan rasuah berkaitan operasi perlombongan emas dinegeri ini.
Kedua-dua tertuduh, Chong Tzu Khen, 69, dan Robert Robin Millip, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Andi Razalijaya A Dadi.
Chong dan Robert masing-masing berdepan tiga pertuduhan membabitkan pemberian dan penerimaan rasuah, dengan Chong didakwa memberi suapan kepada Robert sebagai dorongan untuk memudahkan operasi perlombongan emas oleh Wullersdorf Resources Sdn Bhd (WRSB).
Tiga pertuduhan itu membabitkan pinjaman wang tunai sebanyak RM10,000 di sebuah restoran di Taman Fortuna, di sini, pada April 2024, serta RM3,000 dan RM5,000 masing-masing di sebuah kedai kopi pada Oktober 2024 dan Oktober 2025.
Robert pula didakwa menerima suapan berkenaan dalam bentuk pinjaman wang tunai berjumlah RM18,000 daripada Chong, yang juga CEO WRSB, bagi tujuan sama pada masa dan lokasi yang dinyatakan.
Chong didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala Robert didakwa mengikut Seksyen 17(a) akta sama dimana kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta berkenaan.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM8,000 tanpa deposit dengan dua orang penjamin, selain beberapa syarat terhadap tertuduh.
Antara syarat dicadangkan ialah tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta tidak mengganggu atau menghubungi saksi pendakwaan sepanjang kes berkenaan berjalan.
Terdahulu, mahkamah menetapkan 27 Oktober ini bagi pengurusan kes praperbicaraan, manakala perbicaraan ditetapkan pada 11 hingga 13 Januari tahun depan.


