
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah susulan pemergian Allahyarhamah, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Sebelum memulakan ucapan di The International Future Conference 2026, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengajak hadirin membacakan surah Al-Fatihah atas pemergian isteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Sebelum itu, saya ingin berkongsikan berita sedih pagi ini, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali telah meninggal dunia.
“Jadi saya ingin mengajak semua untuk sedekahkan Al-Fatihah kepadanya, semoga Allah SWT mencucuri rahmat atas pemergiannya,” katanya, pada Isnin.
Allahyarhamah berusia 100 tahun dan dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.20 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN).
Dilahirkan pada 12 Julai 1926, Allahyarhamah antara wanita Melayu terawal bergelar doktor perubatan dan pernah berkhidmat dalam bidang kesihatan awam.
Jenazah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur akan dibawa ke rumahnya di The Mines, Seri Kembangan untuk dimandikan sebelum dikebumikan.
Dr Siti Hasmah dikenang sebagai lambang kesederhanaan, kebijaksanaan dan kasih sayang selain memiliki keperibadian yang lembuh serta berwibawa.






