
KOTA KINABALU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menasihatkan supaya konsert penyanyi antarabangsa, Israel Houghton, yang dikatakan dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu pada Oktober ini tidak diadakan dahulu, mengambil kira tahap sensitiviti masyarakat ketika ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun berkata, nasihat itu bagaimanapun hanya akan dikemukakan secara rasmi sekiranya permohonan penganjuran konsert berkenaan diterima Kerajaan Negeri Sabah dan pandangan PDRM diminta.
“Berdasarkan kadar sensitiviti sekarang, kita akan menasihatkan supaya konsert ini tidak diadakan dahulu.
“Setakat ini belum ada permohonan rasmi diterima Kerajaan Negeri Sabah bagi penganjuran konsert berkenaan.
“PDRM juga belum menerima permintaan daripada Kerajaan Negeri untuk memberikan pandangan berhubung penganjuran konsert itu,” ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Isnin.

Menurut Jauteh, perkara berkenaan mendapat perhatian polis susulan penyebaran maklumat di media sosial mengenai tarikh, lokasi dan harga tiket, selain dua laporan polis diterima setakat ini.
“Berdasarkan siaran dalam media sosial, kita mendapati banyak reaksi daripada masyarakat, termasuk laporan polis kerana penganjuran ini dilihat tidak sesuai dengan keadaan semasa dan menimbulkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat.
“Maklumat yang tersebarluas juga mengatakan bahawa konsert itu berlangsung antara 22 hingga 25 Oktober di beberapa lokasi di Kota Kinabalu sebagai sebahagian daripada konsert jelajah antarabangsa.
“Keadaan ini menimbulkan kekeliruan apabila penganjuran konsert sudah diwar-warkan kepada umum sedangkan sebarang permohonan rasmi masih belum diterima kerajaan negeri,” jelasnya.
Tambahnya, pihak PDRM mengambil perhatian terhadap perkara ini dan akan terus membuat pemantauan serta mengambil keterangan daripada pihak tertentu berkaitan konsert ini.
“Kita juga menasihatkan pihak berkaitan supaya mengambil kira sensitiviti masyarakat dalam keadaan semasa,” katanya.
“Sekiranya permohonan rasmi dikemukakan kepada kerajaan negeri dan pandangan PDRM diminta, pihaknya akan memberikan nasihat berdasarkan keadaan serta reaksi masyarakat pada ketika itu,” tegasnya.
Dalam pada itu, Jauteh berkata setakat ini tiada tindakan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang diambil berkaitan penganjuran konsert berkenaan.
“PDRM akan terus memantau perkembangan isu itu bagi memastikan sebarang perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat dapat ditangani dengan sewajarnya.
“Yang penting, kita melihat kepada sensitiviti dan ketenteraman masyarakat. Kita akan mengambil tindakan bersesuaian bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat keadilan dan rasa selamat,” katanya.

