
LAHAD DATU – Hasrat seorang lelaki mencari lokan di sungai berhampiran Kampung Tulibas Baru, di sini, berakhir tragedi apabila dia ditemukan meninggal dunia dipercayai dibaham buaya, pada Jumaat.
Mayat mangsa ditemukan tidak sempurna oleh penduduk kampung di dalam sungai kira-kira tiga kilometer dari lokasi penemuan topinya pada pukul 3.06 petang.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, mangsa berumur 38 tahun itu dipercayai keluar dari rumah pada Rabu untuk mencari lokan di sungai berhampiran, namun tidak pulang dan gagal dihubungi.
“Usaha pencarian awal yang dijalankan oleh ahli keluarga mangsa telah menemukan topi mangsa di kawasan muara sungai berhampiran pantai, manakala peralatan mencari lokan (pencakar) turut ditemui di dalam sungai.
“Pasukan Bomba telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat lanjut dan seterusnya melaksanakan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR),” menurut kenyataan JBPM Sabah, pada Jumaat.

Menurut kenyataan tersebut, pencarian dilakukan menggunakan kaedah ‘surface searching’ di sepanjang tebing sungai, manakala orang awam menggunakan bot persendirian untuk membuat pencarian di permukaan air.
Tambahnya, sebaik ditemukan, pasukan penyelamat bertindak mengeluarkan mangsa dari sungai sebelum menyerahkannya kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang melibatkan anggota BBP Lahad Datu, PBS Felda Sahabat, APM, PDRM dan orang awam itu ditamatkan sepenuhnya pukul 4.45 petang selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.






