
KOTA KINABALU – Kerajaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan dan produktiviti pekebun kecil sawit menerusi program tanam semula, penggunaan teknologi serta penghasilan produk berkualiti dan mempunyai kebolehkesanan bagi memperluas akses ke pasaran antarabangsa.
Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pekebun kecil bukan sahaja mampu meningkatkan pengeluaran, malah memperoleh pendapatan lebih baik daripada hasil tanaman mereka.
“KPK bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terus menyediakan pelbagai inisiatif, termasuk bantuan dan khidmat nasihat berkaitan pengurusan tanaman serta penyakit pokok sawit.
“Antara yang kita fokuskan melalui KPK dan MPOB adalah mengenai tanam semula sawit, termasuk manfaat yang diberikan kepada pekebun kecil serta cara menangani penyakit pokok dan pelbagai lagi.
“Yang penting, kita perlu meningkatkan pendapatan mereka dengan memastikan pokok yang berbuah menghasilkan buah berkualiti,” ujarnya kepada media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2026, Hotel Promenade, di sini, pada Khamis.

Menurut Noraini, persidangan berkenaan dianjurkan setiap dua tahun secara bergilir di negeri-negeri seluruh Malaysia, dengan Sabah dipilih sebagai tuan rumah pada tahun ini, sekali gus menghimpunkan hampir 800 peserta dari seluruh negara.
“Persidangan ini menjadi platform untuk pekebun kecil mendapatkan pendedahan berkaitan teknologi dan manfaat yang ditawarkan KPK serta MPOB, selain berkongsi pengalaman dengan pemain industri.
“Program selama dua hari itu turut menampilkan pembentangan kertas kerja dan perkongsian berkaitan perkembangan serta teknologi dalam industri sawit,” ujarnya.
Dalam pada itu, Noraini turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sokongan diberikan kepada MPOB dalam memastikan program berkenaan dapat dilaksanakan secara berterusan.
“Kerjasama semua pihak amat penting untuk kita memastikan perkongsian yang dibuat ini memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil, khususnya dalam meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka.
“Kejayaan pekebun kecil tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah pengeluaran atau prestasi eksport, sebaliknya turut mengambil kira kemampuan mereka meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan keluarga.
“Usaha itu memerlukan kerjasama pekebun kecil sendiri bersama kerajaan dan agensi berkaitan melalui penyediaan input, bantuan serta khidmat nasihat.
“MPOB boleh berkongsi hasil penyelidikan bagi memastikan produk yang dihasilkan berkualiti, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil, selain memastikan produk kita mempunyai kebolehkesanan seperti yang dituntut di peringkat antarabangsa,” kogsinya.
Sementara itu, mengulas mengenai peruntukan RM63.5 juta bagi sektor berkenaan dalam Belanjawan 2026, Noraini berkata, pihaknya berharap kerajaan terus memberi perhatian kepada usaha memperkukuh industri komoditi, termasuk memperkasakan golongan pekebun kecil.





