SEBERANG PERAI – Lima buah kereta yang diletakkan di tingkat berbeza sebuah kondominium di Jelutong, George Town di sini dipercayai dijadikan ‘stor’ menyimpan rokok seludup sebelum kegiatan itu dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, baru-baru ini.
Dalam serbuan itu, sebanyak 339,640 batang rokok pelbagai jenama ditemukan disimpan dalam kenderaan terbabit, manakala seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an ditahan ketika sedang memunggah rokok berkenaan.
Pengarah JKDM negeri, Hasbollah Din berkata, kegiatan itu terbongkar hasil maklumat dan risikan pihaknya sebelum sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan menjalankan pemeriksaan kira-kira pukul 6.40 petang.
Katanya, lelaki terbabit dipercayai sedang memindahkan rokok berkenaan ke kenderaan lain sebelum dihantar ke lokasi tertentu.
“Kesemua kenderaan terbabit diletakkan di tingkat berlainan dalam tempoh yang agak lama dan dipercayai hanya dijadikan sebagai tempat penyimpanan rokok tidak berkastam,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Kastam negeri di sini, hari ini.
Hasbollah berkata, penggunaan kawasan parkir kondominium yang dikawal pengawal keselamatan dipercayai merupakan antara taktik bagi mengelakkan kegiatan penyeludupan itu dikesan pihak berkuasa.
Lebih mengejutkan, katanya, semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati nombor pendaftaran digunakan pada kelima-lima kenderaan berkenaan adalah palsu.
Beliau berkata, kesemua rokok dan kenderaan terbabit disita dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan RM590,959.





