Gabung tiga acara utama, edisi sulung SLF 2026 sasar 50,000 pengunjung di Miri

MIRI – Penganjuran julung kali Sarawak Literature Festival (SLF) 2026 yang berlangsung bermula 23 hingga 27 September ini bakal menjadi mercu tanda baharu pemerkasaan kesusasteraan dan warisan intelektual wilayah ini dengan sasaran penarikan sehingga 50,000 pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli berkata, festival berskala besar itu mencipta kelainan dengan menggabungkan tiga acara utama iaitu Sarawak Book FairSarawak Authors Festival, dan Festival Sarawakiana di bawah satu bumbung dan platform bersepadu.

“Hari ini kita sedang membina platform baharu untuk membolehkan karya, penulis, dan warisan Sarawak bertemu masyarakat dalam skala yang lebih besar.

“Integrasi ini bukan sahaja mengoptimumkan sumber dan mengurangkan pertindihan operasi, malah mewujudkan pengalaman festival yang menyeluruh dan holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian bersempena dengan Majlis Perasmian SLF 2026 yang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg) di Stadium Tertutup Miri, pada Khamis.

Membawa tema ‘Menghimpunkan Karya, Penulis & Warisan’, SLF 2026 yang berpusat di Stadium Tertutup Miri serta Pustaka Negeri Sarawak Miri menyediakan hampir 150 slot aktiviti. 

Ia turut menghimpunkan 62 penulis, penceramah, dan penggiat sastera dari dalam dan luar negara.

Menyentuh aspek sosioekonomi, Japri menjelaskan festival itu berfungsi sebagai pemangkin pelancongan budaya dengan limpahan manfaat ekonomi berskala besar kepada sektor penginapan, pengangkutan, peruncitan, dan perusahaan kraf tangan Miri.

Malah, penganjurannya di bandar raya ini dilihat bertepatan dengan aspirasi Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk memperkukuhkan portfolionya ke arah pendaftaran di bawah Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UNESCO Creative Cities Network – City of Literature).

“SLF 2026 dirancang sebagai satu gerakan literasi berterusan. Jika edisi sulung ini mencapai objektif, ia dicadangkan menjadi acara tahunan Pustaka Negeri Sarawak dengan penganjurannya digilirkan ke Sibu pada tahun 2027 dan Kuching pada 2028,” tambahnya.

Sebagai rekod sokongan pemuliharaan warisan, Pustaka Negeri Sarawak setakat ini telah menerbitkan 29 judul buku yang merangkumi bidang warisan, sejarah, sastera, dan pendidikan kanak-kanak bagi mendokumentasikan kelestarian identiti Sarawak.

Related Posts

17 kerusi baharu DUN Sarawak dijangka tidak dipertandingkan pada PRN akan datang

KUCHING – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan datang dijangka masih kekal mempertandingkan 82 kerusi sedia ada berikutan proses kajian semula persempadanan bagi 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hentikan stigma kesihatan mental, masyarakat digesa jadi sistem sokongan

MIRI – Masyarakat digesa untuk mengikis stigma negatif berhubung isu kesihatan mental, sebaliknya tampil menjadi sistem sokongan yang utuh kepada individu yang sedang berdepan dengan cabaran emosi kritikal. Ahli Parlimen…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PH Pulau Pinang mahu ‘semak semula’ kerjasama dengan UMNO

PH Pulau Pinang mahu ‘semak semula’ kerjasama dengan UMNO

Gaji rakyat antara keutamaan Belanjawan 2027 – Akmal Nasrullah

Gaji rakyat antara keutamaan Belanjawan 2027 – Akmal Nasrullah

17 kerusi baharu DUN Sarawak dijangka tidak dipertandingkan pada PRN akan datang

17 kerusi baharu DUN Sarawak dijangka tidak dipertandingkan pada PRN akan datang

Hentikan stigma kesihatan mental, masyarakat digesa jadi sistem sokongan

Hentikan stigma kesihatan mental, masyarakat digesa jadi sistem sokongan

2 Orang Asli direman ganggu penjawat awam laksana tugas dekat Tasek Bera