
KUALA LUMPUR – Bantuan dan kemudahan pembiayaan kerajaan perlu mudah diakses golongan peniaga tanpa mereka perlu melalui proses yang menyusahkan atau bergantung kepada orang tengah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pendekatan itu antara yang diketengahkan menerusi Fiesta Pasar Malam Kuala Lumpur 2026 dengan membawa agensi kerajaan serta penyedia kemudahan pembiayaan terus kepada peniaga.
Menurutnya, langkah berkenaan membolehkan peniaga mendapatkan maklumat, penerangan serta mengenal pasti skim bantuan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
“Bantuan kerajaan tak sepatutnya susah dicari.
“Sebab itu di Fiesta Pasar Malam Kuala Lumpur 2026, kita bawa terus agensi dan kemudahan pembiayaan kepada peniaga supaya mereka boleh bertanya, mendapatkan penerangan dan mengenal pasti skim yang sesuai untuk mereka,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam pada itu, Hannah berkata, Fiesta Pasar Malam Kuala Lumpur 2026 turut menyaksikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan 580 petak pasar malam di 27 lokasi sekitar ibu negara.
Katanya, kadar sewaan tapak ditawarkan serendah RM1 sehari, dengan keutamaan diberikan kepada golongan yang tersenarai dalam sistem eKasih.
“Kita mahu lebih ramai mendapat peluang berniaga, menambah pendapatan dan membina kehidupan melalui usaha sendiri,” katanya.
Hannah turut memaklumkan bahawa buat masa ini, permohonan petak pasar malam perlu dibuat secara manual menerusi DBKL.
Beliau menasihatkan individu yang berminat supaya mengemukakan permohonan terus kepada DBKL dan tidak menggunakan khidmat individu yang mendakwa boleh menjadi orang tengah.
“Buat permohonan terus kepada DBKL dan elakkan individu yang cuba mengambil kesempatan sebagai orang tengah,” katanya.






