
MALAYSIA tidak akan menjadi sebuah negara besar sekiranya rakyat terus terperangkap dalam prasangka kaum dan perbezaan yang sempit, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kekuatan Malaysia terletak pada kesediaan rakyat menerima kepelbagaian kaum sebagai asas pembinaan negara yang berkongsi tanah air dan masa depan bersama.
Anwar berkata demikian ketika menghadiri Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan Ke-41 di Melaka semalam.
Menurutnya, masyarakat Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan seluruh rakyat Malaysia merupakan sebahagian daripada satu keluarga besar yang perlu bergerak bersama.
“Malaysia tidak akan menjadi negara yang besar sekiranya kita terus terperangkap atau terheret dalam prasangka kaum dan perbezaan yang sempit,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Anwar berkata perkara itu selari dengan konsep Wa’ad Malaysia, iaitu janji dan ikrar untuk mempertahankan hak setiap rakyat tanpa mengira latar belakang.
Katanya, ia turut merangkumi penghormatan terhadap bahasa, budaya dan agama setiap kaum, selain memastikan tiada rakyat berasa tersisih di negara sendiri.
“Wa’ad Malaysia bahawa janji dan ikrar kita untuk mempertahan hak setiap rakyat, menghormati bahasa, budaya dan agama masing-masing, serta memastikan tiada sesiapa berasa tersisih di bumi sendiri,” katanya.
Perdana Menteri berkata kepelbagaian kaum dan budaya bukan kelemahan, sebaliknya merupakan khazanah serta kekuatan yang perlu terus dipelihara.
Dalam masa sama, beliau mengajak rakyat menyuburkan kepelbagaian berkenaan sambil bersama-sama membina sebuah negara yang bebas rasuah, kukuh perpaduannya dan berani bergerak ke hadapan sebagai satu bangsa.
“Pelbagai bukan kelemahan kita. Ia khazanah dan kekuatan Malaysia,” katanya.




