
KUCHING – Polis sedang giat memburu dua lelaki susulan insiden khianat dengan api yang menyasarkan dua buah kedai serbaneka 24 jam di sekitar bandar raya ini pada malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua kejadian tersebut dilaporkan berlaku antara jam 7.05 malam hingga 8.30 malam di kawasan King Centre dan Jalan Green Road.
Menurut beliau, insiden paling kritikal direkodkan di cawangan Jalan Green Road apabila dua suspek lelaki bertindak membaling objek ke dalam premis berkenaan sehingga mencetuskan dua letupan dan mengakibatkan kebakaran. Bagaimanapun, api berjaya dipadamkan dengan pantas oleh pasukan bomba.
“Kejadian awal yang berlaku di kawasan King Centre pula didapati hanya menggunakan mercun dan tidak mengakibatkan sebarang kerugian atau kerosakan harta benda,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Alexson menegaskan, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api atau bahan letupan.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda.
Sehubungan itu, pihak polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan agar segera menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Tan Chiang Fook di talian 018-2628805 atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244444 bagi membantu siasatan.




