
KUCHING – Sarawak perlu melangkaui peranan sebagai pembekal tenaga boleh diperbaharui dan pengguna kecerdasan buatan (AI) dengan membangunkan teknologi semikonduktor, harta intelek serta sistem kuasa pintar sendiri bagi meningkatkan penyertaan negeri dalam ekonomi digital global.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Sdn Bhd, Datuk Shariman Jamil berkata, keupayaan membangunkan teknologi tempatan merupakan antara asas penting untuk membolehkan Sarawak memperoleh manfaat lebih luas daripada perkembangan industri AI dan peralihan tenaga dunia.
Menurutnya, pembangunan AI bukan sahaja bergantung kepada perisian dan algoritma, malah memerlukan perkakasan serta sistem bekalan kuasa yang cekap dan boleh dipercayai untuk menyokong operasi pusat data serta infrastruktur digital.
“Semikonduktor kuasa membolehkan penukaran, kawalan dan pengurusan elektrik dilaksanakan dengan cekap, daripada penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan penyimpanan bateri hingga kepada sistem kuasa yang menyokong pusat data AI.
“Sarawak mesti melangkaui peranan sebagai pembekal tenaga dan pengguna AI untuk menjadi pencipta teknologi semikonduktor, harta intelek serta penyelesaian bernilai tinggi bagi pasaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Beyond Energy: Sarawak’s Semiconductor Frontier – Powering AI and Green Industrial Evolution’ sempena Program U.S.–Sarawak AI for Business 2026, pada Isnin.

Shariman berkata, Sarawak mempunyai kelebihan strategik untuk menggabungkan tiga bidang utama, iaitu tenaga boleh diperbaharui, teknologi semikonduktor dan kecerdasan buatan, bagi membangunkan ekosistem industri berteknologi tinggi.
Menurutnya, AI berupaya membantu mengoptimumkan penjanaan dan pengurusan tenaga, manakala teknologi semikonduktor pula memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan penukaran kuasa serta menyokong infrastruktur pengkomputeran.
Beliau berkata, gabungan keupayaan berkenaan berpotensi membuka peluang kepada Sarawak untuk membangunkan penyelesaian teknologi yang lebih cekap tenaga dan berdaya saing di pasaran antarabangsa.
“Teknologi ini saling melengkapi. Dengan membangunkan ekosistem bersepadu berasaskan tenaga bersih, reka bentuk semikonduktor tempatan dan sistem kuasa pintar, Sarawak mampu membina kedudukan kompetitif dalam ekonomi AI global,” katanya.
Dalam pada itu, Shariman berkata, SMD Semiconductor yang ditubuhkan oleh kerajaan Sarawak pada 2022 sedang memperkukuh kepakaran dalam reka bentuk litar bersepadu, pembangunan harta intelek, modul kuasa, sistem kawalan pintar serta teknologi semikonduktor termaju.
Antara pencapaian syarikat itu ialah pembangunan keteq.GaN, cip semikonduktor kuasa berasaskan galium nitrida (GaN) pertama yang direka di Sarawak dan diperkenalkan pada Oktober lalu.
Cip berkenaan dibangunkan untuk meningkatkan kecekapan penukaran serta pengurusan tenaga, dengan sasaran aplikasi termasuk infrastruktur pusat data AI, sistem tenaga boleh diperbaharui, penyimpanan tenaga, grid pintar dan elektronik kuasa industri.
Menurutnya, pembangunan teknologi itu mencerminkan usaha Sarawak untuk menghubungkan kelebihan sumber tenaga bersih dengan permintaan industri pengkomputeran dan teknologi digital yang semakin berkembang.
“Peluang Sarawak bukan sekadar membekalkan tenaga boleh diperbaharui untuk menjayakan revolusi AI, tetapi turut membangunkan teknologi semikonduktor dan sistem pintar yang menjadikan revolusi itu lebih cekap, mampan serta berdaya saing,” katanya.
Sementara itu, Program U.S.–Sarawak AI for Business 2026 yang berlangsung selama sehari menghimpunkan 120 peserta daripada agensi kerajaan, sektor perniagaan, industri, institusi pendidikan, pertubuhan belia dan media.
Program bertemakan ‘Use AI Safely, Grow with Confidence’ itu dianjurkan oleh Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, manakala SMD Semiconductor bertindak sebagai rakan sumber industri dan teknologi tempatan.
Pengerusi AZAM Sarawak, Datuk Ismawi Ismuni yang merasmikan program berkenaan turut menekankan kepentingan penggunaan AI secara bertanggungjawab melalui perlindungan data, harta intelek dan kepercayaan masyarakat.
Program itu turut menampilkan Pengarah Dasar Teknologi dan Telekomunikasi, Foundation for American Innovation dari Washington, D.C., Joshua Levine, yang berkongsi pendekatan pengurusan risiko AI merangkumi perlindungan data, keselamatan siber, ketelusan serta pengawasan manusia.
Shariman turut menyertai sesi perbincangan panel bersama Levine yang membincangkan peluang, risiko dan pendekatan penggunaan AI dalam konteks industri Sarawak.
SMD Semiconductor akan meneruskan pembangunan teknologi semikonduktor kuasa tempatan, memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan industri antarabangsa serta mempercepat usaha pengkomersialan cip dan penyelesaian kuasa pintar yang direka di Sarawak.
Langkah berkenaan disasarkan untuk meningkatkan nilai ekonomi, membangunkan kepakaran tempatan serta memperluas penyertaan Sarawak dalam rantaian bekalan semikonduktor global.



