PDRM, MCMC perlu siasat segera video pementasan didakwa hina institusi Raja

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta segera menyiasat sebuah video pementasan yang didakwa memperlekeh institusi Raja, Malaysia serta Rukun Negara.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi menentukan sama ada kandungan pementasan berkenaan melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.

Katanya, tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya wujud kesalahan, termasuk dengan mengambil kira peruntukan Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948.

“Rukun Negara bukan sekadar lafaz yang dibaca dalam majlis rasmi. Rukun Negara ialah ideologi dan falsafah kebangsaan serta panduan dalam pembinaan sebuah negara yang bersatu padu.

“Perkara itu telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 dengan matlamat utama membentuk perpaduan kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, malam tadi.

Aaron berkata, tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang penting bagi memastikan kebebasan yang dinikmati rakyat tidak disalahgunakan sehingga menjejaskan institusi negara dan keharmonian masyarakat.

Beliau menyifatkan kandungan pementasan yang tular itu sebagai tidak bertanggungjawab, keterlaluan dan tidak boleh diterima.

Katanya, kebebasan berkarya dan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk memperlekeh institusi negara atau mencetuskan provokasi yang berpotensi menggugat keharmonian masyarakat.

“Tidak ada ruang untuk mana-mana pihak mempermainkan perkara yang menyentuh institusi Raja, kedaulatan negara serta asas yang membentuk kehidupan dalam negara kita.

“Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penggiat seni, pencipta kandungan dan pengguna media sosial supaya menggunakan kebebasan yang ada dengan penuh tanggungjawab serta menghormati undang-undang dan asas negara.

Video berkenaan sebelum ini tular selepas dimuat naik di Instagram oleh pengguna ‘The Fever Kinetic Theatre’ dan didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi Raja, Malaysia serta Rukun Negara.

Dalam perkembangan sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, menyifatkan pementasan berkenaan sebagai pelanggaran adab dan kemungkaran sosial yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat majmuk.

Beliau berkata, pihak penganjur wajar memohon maaf secara terbuka, selain pihak berkuasa dan agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan.

“Pentas seni sepatutnya mendidik jiwa dan menyatukan rakyat, bukan memecahbelahkan.

“Hentikan eksploitasi nilai murni demi populariti murahan, dan kembalilah membina negara berasaskan kebenaran, adab dan nilai moral serta keagamaan yang kukuh,” katanya.

Related Posts

Tahanan rumah belum bermula, Najib kekal di Penjara Kajang

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih perlu menjalani hukuman di Penjara Kajang buat sementara waktu selepas pelaksanaan tahanan rumah yang diperkenankan kepadanya tertakluk kepada…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anthony Loke letak jawatan, Pas dan UMNO pula bagaimana?

KEPUTUSAN Anthony Loke untuk menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak menimbulkan persoalan mengenai tindakan yang boleh diambil seseorang menteri apabila tidak…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tahanan rumah belum bermula, Najib kekal di Penjara Kajang

Tahanan rumah belum bermula, Najib kekal di Penjara Kajang

Anthony Loke letak jawatan, Pas dan UMNO pula bagaimana?

Anthony Loke letak jawatan, Pas dan UMNO pula bagaimana?

Ikut prosedur, undang-undang dalam isu Tasek Bera

Ikut prosedur, undang-undang dalam isu Tasek Bera

Ribuan pengunjung meriahkan Pertandingan Perahu Naga Pesta Limbang 2026

Ribuan pengunjung meriahkan Pertandingan Perahu Naga Pesta Limbang 2026

Jalan Sim-Sim ditutup selepas tanah runtuh sepanjang 150 meter

  • By Fandi
  • September 20, 2026
Jalan Sim-Sim ditutup selepas tanah runtuh sepanjang 150 meter

ESSCOM-AS tingkat kesiapsiagaan pengurusan kecemasan

  • By Fandi
  • September 20, 2026
ESSCOM-AS tingkat kesiapsiagaan pengurusan kecemasan