
TINDAKAN UMNO mengumpul dana bagi membayar denda berkaitan kesalahan rasuah disifatkan memberi mesej yang salah kepada generasi muda, kata Setiausaha Pengelola PKR Selangor, Jestin Raj Savarimuthu.
Beliau berkata, keadaan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa seseorang boleh melakukan kesalahan, dikenakan hukuman dan kemudian mengumpul wang untuk menyelesaikan bayaran berkenaan.
“Apa yang berlaku hari ini ialah seolah-olah kita menghalalkan rasuah. Apa yang kita mahu bawa kepada generasi akan datang?
“Kalau mencuri, masuk penjara, kemudian boleh beli rumah, kita memberikan mesej yang salah.
“Bagi saya, UMNO memberikan isyarat yang salah kepada generasi akan datang. Anda boleh mencuri, dikenakan denda, dibebaskan dan kemudian mengumpul dana untuk membayar denda. Ini sangat memalukan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Sabtu.
UMNO pada Jumaat melancarkan Tabung Solidariti Datuk Seri Najib Razak bagi membantu bekas Perdana Menteri itu melunaskan denda RM50 juta, susulan pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Jestin berkata, Kerajaan MADANI sejak hampir empat tahun lalu konsisten dalam usaha membanteras rasuah dan mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit dalam kesalahan berkenaan.

Katanya, usaha itu perlu diteruskan tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu yang terbabit.
Dalam pada itu, beliau menolak perbandingan isu berkenaan dengan kes membabitkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang kerana menurutnya, setiap kes mempunyai latar belakang dan isu berbeza.
“Kita perlu membandingkan epal dengan epal. Isu ini membabitkan dana negeri yang dikhuatiri mempunyai unsur rasuah.
“Kes mereka berbeza kerana membabitkan isu sivil dan perkara lain. Ini adalah kes yang berbeza,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang membuat sumbangan sebanyak satu sen kepada dana berkenaan sebagai tanda sindiran.
Katanya, beberapa tangkap layar sumbangan sebanyak RM0.01 itu telah dikongsikan dalam kumpulan media sosial dan Facebook.
“Semalam, seseorang menghantar satu sen kepada dana itu sebagai sumbangan. Itu memalukan.
“Saya tidak tahu bagaimana UMNO akan mengendalikan perkara ini,” katanya.
Jestin berkata, sepanjang hampir empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berusaha memperbaiki ekonomi negara selain meningkatkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa, khususnya dalam ASEAN.
Katanya, Malaysia sebelum ini sering dikaitkan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), namun usaha membanteras rasuah perlu diteruskan bagi memastikan keyakinan terhadap negara terus diperkukuh.
“Dalam tempoh empat tahun lalu, PMX telah melakukan yang terbaik, terutama dalam isu rasuah. Ramai individu telah didakwa.
“Kita perlu memastikan mesej yang disampaikan kepada generasi akan datang tidak menganggap rasuah sebagai sesuatu yang boleh diselesaikan dengan wang,” katanya.







